Wednesday, December 23, 2015

Rezeki rumah dekat masjid



Rezeki rumah dekat masjid
Rosiah (belakang dua, kiri) ceria dikunjungi sempena Program Jalinan Kasih PST di kediamannya di Felda Bukit Jalor.
GEMENCHEH - “Syukur Alhamdulilah...Walaupun wan tak berpeluang ke masjid, wan tetap dapat dengar setiap ceramah tok guru yang datang ke Felda ini,” kata Rosiah Md Dasit, 77, ketika ditemui  Sinar Harian pada Program Jalinan Kasih Persatuan Sukarelawan Tampin (PST) di kediamannya di Felda Bukit Jalor, di sini, baru-baru ini.
Rosiah berkata, dia merasakan seolah-olah seperti dia masih muda dan berpeluang bersama-sama rakan seusia mengimarahkan masjid setiap kali terdapat aktiviti keagamaan berlangsung di masjid berkenaan.
Menurutnya, susulan kedudukan rumahnya yang begitu dekat dengan masjid, dia dapat mendengar ceramah agama, alunan bacaan al-Quran dan azan setiap kali masuk waktu solat.
“Ini yang wan rindukan jika menetap bersama anak-anak di rumah mereka. Jadi, wan lebih suka menetap di rumah sendiri dan berasa tidak ketinggalan dalam setiap aktiviti keagamaan di Felda ini.
“Anak-anak wan pula akan pulang pada setiap minggu dan menguruskan keperluan wan,” luahnya yang mengalami masalah sakit lutut sejak setahun lalu dan tidak berpeluang ke masjid.
Turut hadir, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Bukit Jalor, Halimah Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PST, Aziyah Harun berkata, program berkenaan adalah program bulanan persatuan bagi mendekati golongan memerlukan dan khalayak sasaran seperti warga emas bagi memberikan keceriaan kepada mereka.
“Sempena kunjungan ini, kami turut menyampaikan sumbangan serta beramah-mesra dengan mereka bagi meringankan beban yang dialami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: