Wednesday, December 23, 2015

Restoran Mek Corner sedia menu jimat tapi sedap




Restoran Mek Corner sedia menu jimat tapi sedap

BAGI mereka yang mahukan menu bajet tetapi sedap untuk makan tengah hari, Restoran Mek Corner yang terletak di Taman Sri Desa Samudera, Batu Caves, adalah salah satu pilihan bijak.
Dengan hanya RM7, pelanggan boleh mendapat set nasi kukus ayam berempah dihidangkan dalam tampi bersama minuman pilihan teh O atau oren.
Menu tersebut adalah antara pilihan utama pelanggan tetap di situ, selain makanan berlauk termasuklah pelbagai sup dan gulai kawah dengan konsep pantai timur.
Pemiliknya, Suhaila Man, 40, atau mesra dipanggil Kak Sheila berkata, restorannya yang beroperasi dari jam 7 pagi sehingga 12 malam itu turut menyediakan sarapan pagi seperti nasi kerabu dan nasi dagang, manakala sebelah malamnya pula disediakan masakan panas seperti tom yam dan sajian barat.
“Ini cawangan ketiga kami dan mula dibuka hampir enam bulan lalu, tapi dah ada pelanggan tetap yang kebanyakannya penggemar makanan ala pantai timur.
“Sup urat keting dan lidah yang susah nak jumpa di sini pun kami sediakan atas permintaan ramai. Nasi kukus pula kami guna ayam kampung yang antaranya jadi kegemaran pelanggan,” katanya.
Tambahnya, antara rahsia keenakan menu ialah kerana mereka menggunakan resipi asli ibunya selain tukang masak yang didatangkan khas dari pantai timur.
“Saya dah mula berniaga sejak kecil lagi, tolong ibu berniaga. Pengalaman kerja di hotel juga saya gunakan untuk mulakan perniagaan bersama suami sekitar tahun 1999.
Mulanya kami hanya menjaja dan selepas itu baru buka cawangan. Kami pernah jatuh satu ketika dulu tapi bangkit semula sampailah sekarang. Alhamdulillah, perniagaan kami makin berkembang dan ada pelanggan tetap.
“Kami juga ada buka tempahan katering untuk majlis kahwin dan juga majlis lain dengan jumlah maksimum ditetapkan untuk 2,000 orang saja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: