
Patuh syariah: Rayani Air tidak hidang minuman keras
LANGKAWI - Syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, Rayani Air memberi jaminan akan terus mendapatkan komposisi terbaik dalam meneruskan misi mereka kekal dalam syariat Islam.
Pengarah Urusannya, Jaafar Zamhari berkata, walaupun masih baharu, namun mereka komited dan akan terus mendapatkan khidmat nasihat pihak berkuasa mengenai syariat Islam.
"Patuh syariah ini sangat halus dan banyak perkara perlu diteliti, tetapi kami yakin dengan visi kami, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.
"Pada masa ini, kami sudah menjalankan beberapa perkara yang merupakan langkah awal bagi meneruskan kelangsungan kami ini.
"Antaranya adalah mewajibkan semua anak kapal yang beragama Islam menutup aurat, tiada sebarang alkohol dalam penerbangan, makanan yang disediakan juga berorientasikan halal, ada doa sebelum memulakan perjalanan dan juga mengamalkan jariah yang lain," katanya selepas penerbangan pertama Rayani Air dari KLIA2 ke Langkawi, hari ini.
Dalam penerbangan pertama itu, lebih 10 agensi media turut dibawa melihat 'aksi' sulung Rayani Air.
Selain media, Rayani Air turut membawa 18 anak-anak yatim dari Institut Taufiq Islami, Jalan Kebun, Klang untuk sama-sama merasai penerbangan pertama mereka.
Memilih Langkawi sebagai pusat operasi, Jaafar berkata, ia merupakan pilihan tepat memandangkan Langkawi merupakan pusat pelancongan yang digemari bukan hanya rakyat di negara ini malah antarabangsa.
"Langkawi adalah hab pelancongan yang dikenali, jadi kami berpendapat, ia sesuai dengan kami yang sama-sama mahu membantu dalam terus memperkenalkan Langkawi di mata dunia.
"Ini adalah matlamat kami, namun tidak melupakan bandar-bandar lain yang juga mempunyai keunikan tersendiri," katanya.
Selain Langkawi, Rayani Air turut melakukan penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan.
"Pada masa ini, penerbangan dilakukan dua kali sehari untuk kedua-dua destinasi ini. Pada awal Januari hadapan, kami akan menambah lagi lokasi penerbangan kami iaitu Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak serta beberapa destinasi lain.
"Kami menjangkakan 2016, operasi kami akan bertambah selain dapat menambah dua lagi pesawat yang akan melancarkan penerbangan kami," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: