Wednesday, December 23, 2015

Lyudmila Pavlichenko penembak tepat wanita paling hebat



Lyudmila Pavlichenko
Lyudmila Pavlichenko
TIDAK seperti kebanyakan penembak tepat wanita muda Tentera Soviet yang lain, Lyudmila Pavlichenko terlebih dahulu telah menempa diri sebagai seorang penembak tepat yang berjaya sebelum menyertai pasukan keselamatan itu.
Beliau lebih tua daripada pelatih lain dan masih di tahun keempat pengajian di Universiti Kiev semasa perang meletus.
Susulan perang itu, Rusia menghantar kira-kira 2,000 wanita yang telah dilatih sebagai penembak tepat, namun hanya 500 terselamat.
Pavlichenko mempunyai rekod paling baik berbanding mereka semua dengan 309 kematian disahkan termasuk 36 penembak tepat daripada pihak musuh.
Disebabkan rekod cemerlangnya, beliau dihantar untuk lawatan perhubungan awam ke Kanada dan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan sokongan bagi usaha perang dan membina hubungan dengan pihak Berikat.
Dengan rekod kejayaan 309 kematian, Pavlichenko dianggap sebagai penembak tepat wanita paling berjaya dalam sejarah dan diiktiraf Hero Kesatuan Soviet.
Kehidupan peribadi
Lyudmila Mikhailovna Pavlichenko dilahirkan pada 12 Julai 1916 di sebuah perkampungan kecil di Belaya Tserkov, Ukraine. Bapanya seorang pekerja kilang biasa, manakala ibunya seorang guru.
Selepas menamatkan persekolahan selama sembilan tahun, mereka sekeluarga berpindah ke Kiev dan beliau bekerja di sebuah gudang.
Pada masa sama, Pavlichenko juga menyertai kelab menembak dan belajar menggunakan senapang ketika masih berusia 14 tahun. Di sini, beliau mengasah bakatnya sebagai seorang penembak tepat.
Apabila Jerman menyerang Rusia atau Kesatuan Soviet pada 22 Jun 1941, beliau merupakan pelajar berusia 24 tahun di Universiti Kiev dalam jurusan sejarah. Beliau membuat keputusan untuk berhenti belajar dan menyertai Tentera Rusia bagi menentang Jerman.
Pada mulanya, pegawai tentera mahu meletakkan namanya dalam senarai jururawat, namun beliau meminta untuk diberikan jawatan dalam cawangan tentera (infantri) dan akhirnya diberi peluang menjadi salah seorang daripada 2,000 pejuang wanita Soviet.
Kerjaya sebagai penembak tepat
Sebagai salah seorang ahli Divisyen Infantri Rusia ke-25, Pavlichenko berjuang menentang Tentera Jerman berhampiran Odessa, Ukraine, di mana beliau mencatatkan dua pembunuhan pertama.
Selama dua setengah tahun selepas itu, beliau mencatatkan 187 lagi kematian di pihak musuh dengan senapang Mosin-Nagant.
Setelah kejatuhan Odessa kepada Jerman, Pavlichenko dipindahkan ke Sevastopol di selatan Ukraine, di mana pada Mei 1942, Majlis Tentera Merah Selatan memberi kredit kepada beliau kerana berjaya membunuh 257 pejuang Jerman.
Jumlah kematian daripada tembakan tepatnya mencecah 309 orang sebelum perang berakhir dan sebelum beliau cedera dalam serangan mortar pada Jun 1942.
Menyedari beliau boleh digunakan sebagai propaganda, Rusia menghantarnya untuk melawat Kanada dan AS dan turut menjadi warganegara Soviet pertama menjadi tetamu di Rumah Putih.
AS memberikannya pistol Colt semi automatik, manakala Kanada memberinya senapang Winchester.
Sekembalinya di Eropah, beliau diberi pangkat utama dan menjadi pengajar sniper. Pada tahun 1934, Pavlichenko telah dianugerahkan Hero Bintang Emas Kesatuan Soviet.
Jadi ahli sejarah dan kematian
Selepas perang tamat, Pavlichenko menamatkan pendidikan di Universiti Kiev dan menjadi seorang ahli sejarah yang ditugaskan di Ibu Pejabat Tentera laut Soviet dari tahun 1945 hingga 1953.
Beliau kemudiannya aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Soviet untuk Veteran Perang.
Pada 10 Oktober 1974, Pavlichenko meninggal dunia ketika berusia 58 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Novodevichye di Moscow.
Stem peringatan Soviet kedua yang menampil potret penembak tepat wanita paling hebat sepanjang zaman itu dikeluarkan pada tahun 1976.
Pengiktirafan
Rekod perang Pavlichenko telah diiktiraf di Kesatuan Soviet oleh dua setem kenangan dengan potret beliau.
Manakala di AS, sebuah lagu berjudul Miss Pavlichenko telah digubah khas semasa Perang Dunia Kedua oleh penyanyi Woody Guthrie, sebagai salah satu penghormatan kepada rekod perangnya dan bagi mengingati lawatannya ke AS dan Kanada.
Sebuah filem biografi mengenai Pavlichenko turut dihasilkan dengan usaha sama Rusia dan Ukraine telah dikeluarkan di dua negara itu pada 2 April lalu. Tayangan perdana ditayangkan dua minggu kemudian di Festival Filem Antarabangsa Beijing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: