
Lisa Surihani bergambar dengan peminat ketika sidang media Roadshow Marigold Peel Fresh di Pasaraya Mydin, Seremban 2, semalam.
SELEPAS melahirkan anak tiga bulan lalu, pelakon Lisa Surihani masih kelihatan berisi meskipun telah habis tempoh berpantang.
Kemunculan pada majlis Anugerah Skrin baru-baru ini dan Roadshow Marigold Peel Fresh di Seremban, semalam, Lisa masih kelihatan berisi.
Menurut Lisa, dia sudah menurunkan berat badan sebanyak 19 kilogram (kg) sejak lepas bersalin bayi perempuannya, Yahaira Leanne pada 15 September lalu.
“Masa mengandung berat badan Lisa naik 30 Kg. Alhamdulillah, Lisa berjaya kurangkan 19 kg selepas bersalin.
“Lisa perlu turunkan sembilan kilogram lagi tapi Lisa dah cek dengan doktor dan pakar pemakanan, mereka kata kalau ikut BMI Lisa tidak perlu turunkan sebanyak itu, cukup sekadar empat atau lima kilogram sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Roadshow Marigold Peel Fresh di Pasaraya Mydin, Seremban 2, di sini, semalam.
Lisa yang juga duta produk minuman Marigold berkata, dia tidak perlu bekerja keras untuk menurunkan berat badan kerana apa yang lebih penting ialah kesihatan diri dan anaknya.
“Mungkin Lisa menyusukan 'baby'. Lisa tak perlu kerja keras untuk kurus dan berpantang seperti biasa asalkan makan benda sihat dan insya-Allah kekalkan berat badan sihat.
“Saya amalkan berpantang cara Melayu dan juga amalan masyarakat Cina di mana banyak makanan dimasak dengan halia. Saya juga amalkan banyak minum air dan minuman jus buah-buahan Marigold,” katanya.
Pelakon 'Ombak Rindu' itu berkata, kehidupannya kini bertambah bahagia sejak dikurniakan cahaya mata.
“Alhamdulillah, kegembiraan itu susah Lisa nak gambarkan dengan kata-kata. Lisa amat bersyukur dan Alhamdulillah, Lisa amat 'happy' dan Yusry juga 'happy'. Ini rezeki ALLAH kurniakan buat kami dan kami amat gembira.
“Alhamdulillah, perkembangan 'baby' pun ok,” katanya.
Isteri kepada Yusri itu berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran untuk sebuah rancangan realiti berbentuk majalah dan infotainmen mengenai kehamilan, berpantang dan keibubapaan.
“Walaupun Lisa sibuk dengan penggambaran dan Roadshow Marigold, Lisa akan berusaha untuk 'fully breastfeed',” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: