Tuesday, December 15, 2015

Ibu, anak berkongsi pelamin



Ibu, anak berkongsi pelamin
Julihai (dua, kanan) bersama Lailatul (dua, kiri) sewaktu majlis persandingan mereka.
LABIS – Seorang ibu dan anak perempuannya di Felda Chemplak Barat di sini, mencipta sejarah apabila disandingkan serentak dengan pasangan masing-masing dalam majlis perkahwinan, kelmarin.
Julihai Kassim, 44, berkata, idea bersanding serentak bersama anak sulungnya, Lailatul Shahirah Janesdin, 21, itu timbul setelah mendapat pandangan positif ahli keluarganya.
“Pada awalnya, saya bercadang untuk bernikah pada Februari tahun depan, tapi Lailatul cadangkan majlis persandingan kami diadakan serentak bagi jimatkan masa dan belanjaan.
“Ditambah pula, ramai ahli keluarga dan saudara mara yang tinggal jauh dan bagi saya membazir jika hendak buat majlis perkahwinan lagi pada tahun hadapan sebab tempohnya yang dekat selepas majlis perkahwinan anak,” katanya.
Menurutnya, selepas 12 tahun bergelar ibu tunggal, dia juga tidak menyangka akan bertemu jodoh buat kali kedua bersama suaminya, Shamsul Abdul Rahman, 42, selepas perkenalan di laman sosial Facebook.
Katanya, dia juga tertarik dengan keberanian suaminya yang melamarnya selepas pertama kali berjumpa sebelum melangsungkan majlis pertunangan pada 20 Julai lalu.
Bagi Lailatul, dia dan pasangannya, Mohd Tajul Ashikin, 29, bersyukur apabila  majlis itu berjalan lancar dan semua pihak termasuk masyarakat setempat turut memberi galakan serta teruja melihat mereka bersanding bersama di atas satu pelamin.
“Saya dan pasangan juga boleh dikatakan bertuah kerana berpeluang kongsi kegembiraan menamatkan zaman bujang bersama ibu dan ayah tiri saya yang jarang diperoleh mana-mana pasangan mempelai.
“Kami memilih tarikh 12 Disember untuk mengadakan majlis persandingan kerana menyifatkan angka tersebut sangat unik,” katanya.
Menurutnya, dia juga mengakui rasa bimbang terhadap pandangan masyarakat yang mungkin memandang sinis tindakan mereka untuk bersanding bersama namun mengetepikan perasaan itu kerana masing-masing sudah bergelar pasangan yang sah.
Katanya, dia yang bernikah bersama suaminya pada 26 September lalu juga mengakui adik bongsunya, Mohd Izwan, 17, turut gembira menerima ayah tiri dan berharap kegembiraan tersebut berkekalan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: