Sunday, December 20, 2015

Hikayat Cendawan Putih, karya sastera ke pentas teater




Hikayat Cendawan Putih

HIKAYAT Cendawan Putih merupakan sebuah cerita lipur lara berasaskan cerita-cerita dongeng dan mitos, serta yang diperturunkan secara lisan.
Kebiasaannya cerita lipur lara membawa kisah-kisah kehidupan dan pengembaraan watak utama atau wira yang menghadapi halangan dalam mencari kebenaran.
Di akhir cerita, watak wira akan menemui kejayaan berdasarkan konsep poetic justice.
Bercerita mengenai karya tersebut, pengarah, Shahrul Mizad memberitahu, dia tertarik untuk mengangkatnya ke pentas teater kerana ia kurang menjadi pilihan penggiat seni teater.
“Karya-karya kesusasteraan kurang diangkat menjadi sebuah persembahan.
Hakikatnya budaya kita memiliki banyak cerita dan bahan sejarah yang boleh diketengahkan menjadi sebuah karya agung.
“Hikayat ini sendiri merupakan sebuah teks untuk tingkatan empat dan lima sekolah menengah. Idea kreatif sebegini perlu diterapkan kepada pelajar dalam melahirkan generasi yang boleh menghargai budayanya sendiri,” katanya.
Baru sahaja dipentaskan di Aswara, kata Shahrul, dia berharap pementasan tersebut dapat dijadikan contoh kepada guru-guru dengan menjadikan teater sebagai pendekatan pembelajaran.
“Saya menganggap persembahan ini sebagai work in progress, sudah tentu terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan sebelum ia diangkat menjadi sebuah monodrama.
“Kepuasan dalam mementaskan sesebuah karya akan berbeza mengikut keperluan ruang dan tempat. Pementasan karya ini mendesak saya untuk lebih kreatif tanpa perlu memikirkan kos yang tinggi.
“Ruangan pentas yang kosong juga mampu menjadikan sebuah pementasan itu cemerlang dan teguh dalam kelasnya yang tersendiri tanpa perlu menggunakan nama-nama tersohor,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pengarah, dia cuba memaksimumkan penggunaan korus mengikut kesesuaian cerita.
“Latihan secara intensif dilakukan selama dua bulan bagi mencari formula dan keseimbangan lakon antara watak utama dan korus.
“Di sinilah cabaran utama saya apabila memilih mengangkat naskhah ini ke pentas yang mengambil masa selama enam bulan.
“Pada asasnya Hikayat Cendawan Putih ini mempunyai banyak sub plot bermula dari kelahiran Raden Kesuma Ningrat sehingga kepada keturunannya.
“Saya hanya mengambil cerita pokok dan memfokuskan kepada kisah  wira sahaja, kemudian naskhah ini diolah untuk dijadikan sebuah skrip pementasan tanpa mengetepikan dialog yang telah sedia ada di dalam karya tersebut,” katanya.
Menariknya, Shahrul juga mengekalkan tata bahasa Melayu lama untuk memperlihatkan keindahan bahasa.
“Elemen-elemen Melayu seperti adat, bahasa berirama seperti pantun dikekalkan. Nyanyian nazam diperdengarkan bagi memperindah lagi jalinan penceritaan,” katanya.

Dua pelakon, 10 watak 
Berkongsi lanjut idea asal teater berkenaan, kata Shahrul, pada peringkat awal pihak produksi bercadang untuk mementaskan naskhah ini dalam skala kecil.
“Idea asal hanya melibatkan dua pelakon. Kedua-dua pelakon akan memegang 10 watak secara bergilir-gilir.
“Sebenarnya sebagai pengarah, saya mahu memberikan cabaran kepada pelakon dalam menangani kepelbagaian watak, sama ada menerusi perlakuan fizikal mahupun permainan emosi,” katanya.
Menurutnya, pendekatan sebegitu juga dilakukan untuk menilai sejauh mana kemampuan pelakon tersebut.
“Cabaran ini menuntut pelakon mencari kesamaan daripada segi gerak dan alun suara supaya penonton tidak keliru dengan watak yang dilakonkan.
“Terdapat dua watak perempuan, enam watak lelaki dan dua watak haiwan. Pada masa sama, selendang turut digunakan dalam membezakan setiap perubahan watak yang dibawa oleh pelakon.
“Persembahan selama satu jam ini memerlukan stamina yang tinggi kerana ia turut melibatkan aksi-aksi lasak antara pemain dan watak binatang seperti singa dan burung bertujuan memanipulasikan pergerakan tubuh,” katanya.
Jelasnya, Hikayat Cendawan Putih adalah naskhah yang diangkat sebagai kajian tesisnya dalam mengkaji Gaya Lakon Tradisional Melayu.
“Lakonan tradisional Makyung dan teknik penyuaraan tok dalang dalam wayang kulit menjadi asas utamadalam mengkaji kaedah lakonan teater  tradisional. “Pementasan ini misalnya punya gaya yang sama dalam memartabatkan naskhahnya,” katanya.
Teater Hikayat Cendawan Putih dipentaskan di bawah produksi Onelaybore Stage Production, Persatuan Alumni Aswara serta mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: