Saturday, December 12, 2015

Gong rebutan empat beradik



Gong rebutan empat beradik
Salleh bersama gong Tok Udin yang berusia lebih 200 tahun.
KUALA PILAH - Keputusan untuk tidak menjual peralatan muzik tradisional gong ketika zaman bujang ternyata tepat apabila khazanah itu kini telah mencecah usia lebih 200 tahun.
Pemiliknya, Salleh Ahmad, 60, ditemui di kampung Tanjung Ipoh berkata, dia memperoleh gong atau dikenali tetamak daripada peninggalan datuk neneknya sebelah ibu.
Menurutnya, pada awalnya, gong itu menjadi rebutan empat beradik kerana mengetahui betapa nilai sejarahnya di sebalik pembuatan gong itu.
“Semua adik-beradik mahu miliki gong kepunyaan Tok Udin.
“Mereka tak mahu saya memiliki gong ini kerana percaya saya akan jual. Tetapi sebaliknya saya telah simpan selama lebih 30 tahun,” katanya.
Jelasnya, pada awal kurun ke 19, gong ini digunakan sebagai alat komunikasi begitu juga dengan Tok Udin.
Salleh berkata, gong bukan sahaja digunakan untuk iringan muzik tetapi banyak kegunaannya.
Menurutnya, gong itu diperbuat daripada tembaga hasil kerja tangan Tok Udin, kerana jika diperhatikan permukaan gong tidak rata.
“Permukaan gong yang kita temui biasanya memiliki permukaan yang cantik dan rata tetapi gong milik Tok Udin ini luar biasa.
“Tombol dan badan gong ini juga dibuat secara berasingan sekali gus mampu mengeluarkan bunyi yang padat dan alat komunikasi pada zaman dahulu,” katanya.
Salleh berkata, Tok Udin adalah tukang rumah dan sentiasa membawa gong miliknya ketika memasuki hutan untuk mencari kayu binaan.
Setiap kali masuk ke dalam hutan, Tok Udin akan membawa gong sebagai alat komunikasi.
“Jika dia menghadapi masalah, gong ini akan dipukul untuk menghantar isyarat kepada orang kampung.
“Dahulu mana ada telefon dan sebagainya, gong la dijadikan alat komunikasi sekiranya ditimpa musibah,” katanya.
Menurut Salleh, kegunaan gong itu dimanfaatkan sehingga kini terutama pada majlis keramaian dan majlis perasmian.
Gong itu akan disewa individu dalam upacara perasmian, keramaian dan persembahan caklempong.
“Meskipun usia gong ini mencecah lebih 200 tahun tetapi bunyinya masih tetap sama sewaktu saya masih kecil lagi. Tiada bezanya,” katanya yang tiada niat menjual gong itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: