
Chin How menunjukkan gambar rumah serta dokumen berkaitan yang difailkan ke TTPM.
JOHOR BAHRU - Impian seorang pengurus melihat kediaman yang baru dibeli di Taman Molek, di sini, dihiasi dengan kertas dinding diingini tidak kesampaian apabila ditipu oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.
Lew Chin How, 37, bersetuju menggunakan perkhidmatan tersebut dengan bayaran RM6,637 termasuk kos upah serta tambahan kos RM1,050 kerana saiz rumahnya agak besar, Jun lalu.
“Saya ke kedai itu semula untuk bertanyakan perkembangan lanjut tentang tempahan yang dibuat namun dimaklumkan individu yang menyelia saya telah berhenti kerja dan saya kemudian dilayan oleh pekerja lain.
“Pekerja itu memaklumkan rekaan yang saya minta tiada dalam simpanan mereka dan saya perlu membuat bayaran tambahan RM1,248 untuk rekaan baharu.
“Setelah diukur, dia memberitahu sejumlah kertas dinding diperlukan namun saya fikir kurang daripada jumlah yang dicadangkan. Oleh sebab mahu cepat siap, saya ikut saja cadangannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, setelah pemasangan kertas dinding dibuat, ada baki 10 gulungan dan Chin How menuntut kembali wangnya namun gagal menyebabkan dia membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, semalam.
“Pihak yang menyelia saya berjanji untuk memulangkan wang saya, namun mereka masih gagal berbuat demikian sejak tiga bulan lepas sehingga saya membuat tuntutan ganti rugi di TTPM,” katanya.
Setelah mendengar penjelasan Chin How, Presiden R Nadarajah mengarahkan kedai perkhidmatan itu membayar RM2,856.70 untuk kos dan upah perkhidmatan 10 gulung kertas dinding yang lebih termasuk cukai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: