
Komuniti setempat menunjukkan simbolik bagus sebagai sokongan terhadap inisiatif dilakukan JKKK Paloh Nyior yang serahkan bot kepada penduduk.
KAMPUNG PALOH NYIOR - “Rumah saya agak jauh di dalam kampung dan antara lokasi terawal banjir. Sebelum ini, saya sekeluarga perlu tunggu orang datang bantu untuk pindah tetapi adanya bot ini, kami boleh selamatkan diri bila-bila masa jika banjir,” kata Nurul Afizal Zainudin, 26.
Menurut ibu tiga anak ini, sumbangan bot yang diterima daripada JKKK Paloh Nyior itu begitu bermakna baginya kerana selepas ini, dia sekeluarga boleh terus berpindah sekiranya paras air kian meningkat tanpa perlu menunggu bantuan daripada mana-mana pihak.
“Kawasan rumah saya hanya terdapat tiga buah rumah serta terletak lebih 500 meter dari jalan utama selain laluan berbukit. Saban tahun, rumah saya pasti akan dilanda banjir dengan kedalaman paras air melebihi satu meter dan perlu berpindah.
“Saya sekeluarga tidak boleh gunakan laluan darat untuk berpindah ke pusat pemindahan dan perlu tunggu bantuan bot tiba. Dalam situasi itu pastinya saya bimbang kerana paras air biasanya naik mendadak. Paling difikirkan keselamatan anak-anak.
“Syukurlah, jika bencana banjir berlaku lagi selepas ini, saya dan suami, Mohd Salimi Hassan, 31, tidak perlu lagi tunggu bantuan sebaliknya boleh bawa anak-anak yang kini masing-masing berusia 7 tahun, 5 tahun dan 19 bulan terus berpindah bila-bila masa sahaja.
“Selain untuk kegunaan kami sekeluarga, bolehlah juga membantu jiran. Kami tidak ada bot sendiri, sebelum ini hanya harapkan ketibaan bot JKKK membantu dan bawa kami sekeluarga pindah,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain Nurul Afizal, seorang lagi penerima ialah Zainal Rikiah Mohd Shah, 51.
Kedua-duanya menerima sebuah bot seorang disumbangkan JKKK Paloh Nyior bagi digunakan untuk berpindah jika berlaku banjir.
Majlis penyerahan disempurnakan Setiausaha JKKK Paloh Nyior, Abdul Manat Ibrahim dalam satu program ringkas di balai raya, di sini, kelmarin yang turut dihadiri Penghulu Mukim Hulu Telemong, Mohd Sukri A.Ghani.
Tak perlu harung air, berpaut tali lagi
Bagi Zainal Rikiah, dengan adanya bot sumbangan JKKK itu, dia sekeluarga tidak perlu lagi mengharungi air dengan berpaut pada tali yang diikat pada pokok bagi menyelamatkan diri apabila banjir sebagaimana dihadapi sebelum ini.
“Walaupun tidak berpindah setiap tahun memandangkan rumah agak tinggi tetapi keliling rumah akan dipenuhi air selain tetap berisiko jika banjir besar. Dengan adanya sumbangan bot ini, bolehlah digunakan ketika banjir nanti selain boleh bantu jiran-jiran lain.
“Sebelum ini, suami Hashim Salleh, 59, yang merupakan seorang buruh akan mengikat tali pada pokok, selepas ini kami tidak perlu lagi mengharungi arus banjir,” katanya yang mempunyai tujuh anak.
Sementara itu, Abdul Manat berkata sumbangan bot bernilai lebih RM3,000 itu merupakan inisiatif JKKK Paloh Nyior bagi memudahkan penduduk yang tinggal jauh di dalam kampung berpindah ke tempat selamat jika berlakunya bencana di kampung berkenaan.
“Sumbangan daripada tabung JKKK Paloh Nyior ini sebagai tanda cakna kepada penduduk terlibat kerana sebelum ini mereka terpaksa menunggu bantuan bot tiba barulah dapat berpindah sedangkan rumah mereka berisiko tinggi.
“Sedia maklum, apabila banjir situasi begitu berbeza kerana kita perlu gunakan kawasan-kawasan kebun atau sawit sebagai laluan bot dan keadaan ini pastinya mengambil masa untuk sampai ke lokasi sebelum dapat bantu mangsa berpindah.
“Melalui penyerahan bot ini diharapkan penduduk terlibat dapat berpindah dengan segera dan bila-bila masa setelah melihat keadaan, tanpa perlu lagi menunggu bot JKKK, apatah lagi pelbagai kemungkinan boleh terjadi sewaktu banjir,” katanya.
Tambah Abdul Manat, terdapat tiga buah lagi bot milik JKKK Paloh Nyior yang berada di bawah simpanan JKKK dan ia akan digunakan bagi membantu mangsa di peringkat awal sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa.
Katanya lagi, kampung tersebut antara yang sering dilanda banjir setiap kali tengkujuh dan jumlah mangsa terlibat tidak menentu, tetapi yang saban tahun berpindah melibatkan lima keluarga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: