Wednesday, December 16, 2015

10A hadiah untuk datuk



10A hadiah untuk datuk
Nur Nadia bersama datuknya, Mustaffa menunjukkan slip keputusan PT3 yang diterimanya di SMKRPB.
IPOH - Cucu bekas posmen, Nur Nadia Abdullah yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun (SMKRPB), di sini, berjaya memperoleh 10A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan semalam.
Pesara posmen, Mohamed Isa@ Mustaffa Abdul Manan, 66, berkata, kejayaan cucunya Nur Nadia membanggakan keluarganya.
Menurutnya, Nur Nadia adalah cucunya yang paling cemerlang dalam akademik setakat ini.
Katanya, ketika cucunya itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan Jelapang (SKJ) Ipoh, dia hanya mampu memperoleh 4A1B.
“Setelah merayu dengan pengetua dia dapat memasuki tingkatan satu SMKRPB sehingga memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan PT3 yang diumumkan hari ini," katanya.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Mustaffa berharap cucunya itu dapat meneruskan pengajian sehingga ke institusi pengajian tinggi sekali gus dapat merubah kehidupan mereka sekeluarga.
Menurutnya, Nur Nadia tinggal bersamanya sekeluarga sejak kecil apabila bapa dan ibunya berpisah, malah dia menguruskan persekolahannya sehingga sekarang.
Sementara itu, Nur Nadia berkata, kejayaannya ini adalah hadiah kepada datuknya di samping orang lain yang menyokong perjalanan hidupnya sejak kecil sehingga kini.
“Saya tinggal dengan datuk sejak kecil dan bersekolah di SKJ Ipoh sejak darjah tiga sehingga enam. Sebelum itu bersekolah di Melaka dalam darjah satu hingga dua.
“Saya gembira dan bersyukur dengan kejayaan ini dan berterima kasih kepada semua terutama guru dan rakan-rakan yang banyak membantu.
"Kemiskinan bukan penghalang kepada kejayaan seseorang jika mereka berusaha bersungguh-sungguh begitu juga saya yang tak pernah jemu berusaha," katanya.
Seramai 30 daripada 119 pelajar SMKRPB memperoleh A dalam semua mata pelajaran tahun ini berbanding lapan tahun lalu menjadikan sekolah berkenaan mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.15.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: