Tuesday, November 3, 2015

Tulang manusia di tapak projek



Tulang manusia di tapak projek
Baharudin menunjukkan tulang yang dipercayai sebahagian daripada rangka manusia.
BACHOK – Penduduk di Kampung Kuala Rekang dekat sini gempar dengan penemuan tulang dipercayai sebahagian rangka manusia di kawasan pembinaan pusat kajian milik sebuah universiti tempatan.

Penemuan tulang sepanjang 12 inci itu menarik perhatian ramai setelah timbul pelbagai spekulasi termasuk rasa pelik penduduk selepas memaklumkan kampung tersebut tidak pernah mempunyai tanah perkuburan.

Penemuan tersebut juga membuka cerita baharu apabila ada sebahagian penduduk kampung mendedahkan ia mungkin berasal daripada beberapa tanah perkuburan lama yang ada di sekitar kampung tersebut.

Seorang penduduk, Baharudin Yaacob, 36, berkata, dia hanya mengetahui penemuan tulang itu daripada rakannya.

Katanya, sebelum ini dia mengetahui terdapat kubur lama dipercayai pelarian Vietnam tidak berapa jauh dari situ dan lokasi penemuan tulang itu hanya beberapa meter daripada kubu British.

“Tak tahu tulang siapa yang ditemui itu sebab ia terletak hanya beberapa meter daripada kubu British. Kalau masa perang dahulu memang ada ramai askar upahan British yang terbunuh ketika mempertahankan kubu itu di sepanjang pantai. Kawasan ini
juga tak jauh daripada pendaratan pelarian rakyat asing ketika tahun 1980-an dahulu,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Pantai Kuala Melawi, Abdul Majid Mat Daud, 66, memberitahu, tapak asal projek seluas 3.2 hektar itu adalah milik orang tuanya sebelum ia dijual kepada pihak universiti.

Beliau berkata, tapak tanah itu sudah lama dibeli oleh kerajaan sekitar 1980-an bagi pembinaan sebuah universiti  namun tergendala sebelum pembinaannya diteruskan semula beberapa tahun lalu.

Menurutnya, sekitar tahun 1950-an dahulu, dia pernah menemui batu nisan di kawasan itu yang menjadi tapak kubur beberapa penduduk.

“Mungkin di situ ada kira- kira lima orang yang pernah disemadikan di situ. Ada yang mati akibat bersalin, ada yang mati akibat wabak penyakit dan kebuluran.

“Sebelum berangkat ke Makkah saya selalu berulang-alik ke situ untuk lihat sama ada mereka ada jumpa rangka manusia atau tidak tetapi ketika itu ia belum ditemui. Saya sudah pesan kepada mereka untuk maklumkan saya jika ada jumpa rangka
manusia di situ, sebab saya akan alihkan ke tapak tanah perkuburan lain yang berdekatan,” katanya.

Abdul Majid berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan namun ia dikatakan di luar bidang kuasa mereka memandangkan kubur lama itu tidak didaftarkan kepada mereka.

Katanya, sekiranya tiada pihak yang mahu mengambil tanggungjawab untuk disemadikan semula tulang itu di tempat lain, dia sendiri akan menggalas tanggungjawab itu sebagai fardhu kifayah menyempurnakan semula persemadian rangka yang ditemui.

“Setakat ini hanya satu tulang iaitu mungkin bahagian kaki yang ditemui di tapak pembinaan itu. Saya tak pasti ke mana lagi tulang rangka lain sama ada sudah tertimbus atau macam mana.

“Harapnya semua rangka dapat ditemui untuk kita simpan semula di tanah perkuburan baharu,” katanya.

Kuala Rekang tiada kubur

Seorang penduduk, Baharudin Abdul Majid, 43, berkata, ketika mendapat tahu mengenai penemuan itu dia segera ke lokasi tersebut dan menemui tulang sepanjang 12 inci di sekitar kawasan pembinaan tersebut.

Katanya, kerja pembinaan sepatutnya dihentikan sementara sehingga penemuan rangka tulang itu dirujuk kepada pihak berkaitan.

“Saya sedih apabila sikap kita sebagai umat Islam dilihat begitu jahil dengan membiarkan rangka yang ditemui itu begitu sahaja. Sepatutnya ia dikafankan dan ditanam semula dan kerja penggalian di kawasan itu perlu dihentikan sementara waktu.
“Sebaliknya mereka bertindak seperti tiada apa- apa yang berlaku dan meneruskan kerja seperti biasa tanpa mempedulikan rangka yang ditemui itu. Sedangkan ia adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk kafan dan disemadikan semula
rangka yang ditemui itu di tempat lain,”.

Baharuddin berkata, masalah tanah perkuburan juga bukan sesuatu isu yang kecil kerana di mukim itu tiada pihak yang bermurah hati untuk mewakafkan tanah sebagai tanah perkuburan.

Beliau tidak menolak faktor ketiadaan tanah perkuburan itu berkemungkinan kerana sayangkan hartanah di situ yang melonjak naik sehingga ratusan  ribu ringgit seekar.

“Di sini kebanyakan jenazah disemadikan di tanah perkuburan Repek. Kampung kami sendiri tak ada kubur sebab tak ada orang wakafkan. Di Repek sahaja ada empat atau lima tanah perkuburan.

“Hanya satu sahaja kubur Rekang yang ayah saya wakafkan dan di situ baru ada satu kubur sahaja. Tulang yang kami temui itu juga ditanam di situ Rabu lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: