Thursday, November 26, 2015

Keluar modal RM50 minta sedekah



Keluar modal RM50 minta sedekah
Pegawai terbabit memberikan nasihat kepada warga emas OKU yang meminta sedekah di Pasar Malam Taman Kota Jaya, kelmarin.
KOTA TINGGI - Dua warga emas OKU sanggup mengeluarkan modal RM50 menyewa kereta ke bandar Kota Tinggi, hanya untuk meminta sedekah di Pasar Malam Taman Kota Jaya.
Mereka yang mengalami masalah penglihatan itu, antara yang dikesan dalam operasi bersepadu pengemis dan  kutu rayau yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini bersama enam agensi lain di Pasar Malam Taman Kota Jaya, petang kelmarin.
Warga emas berkenaan yang turut menerima bantuan bulanan daripada JKM menjalankan aktiviti mengutip derma sambil bermain alat muzik.
Bagaimanapun, mereka tidak ditahan sebaliknya diberi nasihat awal oleh pegawai penguat kuasa agar tidak mengulangi perbuatan serupa.
Pegawai JKM Daerah Kota Tinggi, Mohd Hashir Mohd Kamel berkata, pihaknya sudah menyemak maklumat dan mendapatkan kad OKU serta mengambil maklumat berkaitan kedua-dua warga emas tersebut.
“Kami juga nasihatkan mereka supaya berada di tempat tinggal masing-masing dan tidak melakukan aktiviti kutipan derma seperti itu lagi yang sepatutnya perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkenaan.
“Tambahan pula, kos yang mereka keluarkan untuk ke bandar Kota Tinggi lebih besar berbanding kutipan derma yang diperoleh,” katanya kepada Sinar Harian, selepas operasi tersebut.
Menurutnya, mereka turut mengesan ada peminta derma untuk tabung pembinaan  masjid, dalam operasi sama.
Jelasnya, siasatan awal mendapati mereka berasal dari Johor Bahru dan mempunyai surat kebenaran daripada pihak berkenaan namun individu pengutip derma tersebut meragukan.
Mohd Hashir berkata, peminta derma itu diarahkan beredar dan tidak menjalankan kutipan derma di kawasan tersebut serta diserahkan kepada pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) untuk siasatan lanjut.
“Tujuan operasi ini dijalankan adalah lebih kepada hendak membanteras seiring dengan objektif kami untuk mengurang dan sifarkan kategori pengemis. Operasi ini juga bukan untuk tahan golongan terbabit dan menyekat mereka mencari makan, tetapi lebih kepada hendak membantu mereka.
“Kami mahu kelangsungan hidup mereka lebih baik seperti menempatkan golongan berkenaan di pusat yang disediakan pihak JKM. Di sana, pelbagai aktiviti disediakan termasuk program untuk jana pendapatan mereka,” katanya.
Terdahulu, operasi dari jam 4.30 petang hingga 7 malam itu, melibatkan anggota dari Balai Polis Ibu Pejabat Daerah Kota Tinggi, Pejabat Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Mainj dan  anggota Rela.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: