Telekung dijahit Che Melah terjual antara 30 hingga 40 pasang sebulan.
HULU TERENGGANU - Kerajinan seorang nenek sembilan cucu menghasilkan sendiri telekung untuk dipakai ketika menunaikan ibadah haji di Makkah, 11 tahun lalu, menjadi titik permulaan buat dirinya untuk bergelar pengusaha telekung.
Walaupun diusahakan secara kecil-kecilan, namun hasil tangan Che Melah Hassan, 64, yang membuat telekung menggunakan fabrik jenis jersi, tetap mendapat sambutan menggalakkan apabila mampu menjual antara 30 hingga 40 pasang sebulan.
Utamakan keselesaan
Berkongsi cerita, warga emas ini yang lebih dikenali sebagai Che Ngah berkata, beberapa bulan selepas pulang dari Makkah, ada kenalan bertandang ke rumahnya dan berminat untuk membuat tempahan selepas melihat telekung dihasilkannya.
“Sebelum ke sana (Makkah), saya jahit tiga pasang telekung dan tidak sangka ada yang suka dengan hasil jahitan. Mulanya, saya sekadar ambil tempahan daripada kenalan dan jual telekung kepada penduduk sekitar sahaja.
“Pada 2010, ada kawan datang beli secara borong dan jual kembali di tempat masing-masing. Saya difahamkan, telekung buatan saya ini sudah sampai ke Lombok, Indonesia. Ada juga yang tempah sebagai hadiah.
“Buat masa ini, saya lebih selesa bergerak begini. Walaupun tidak hantar telekung untuk dijual di kedai, tetapi hampir setiap hari saya mula menjahit selepas solat Subuh dan berlanjutan sehinggalah lewat malam atau 1 pagi,” katanya.
Menurutnya, walaupun tanpa sebarang jenama, telekung buatannya mendapat tempat dalam kalangan pembeli kerana selesa dan kemas terutama di bahagian muka.
Katanya, keselesaan itulah paling penting kerana ia akan membuatkan pelanggan berpuas hati.
Jual hanya RM45 sepasang
Che Melah yang memiliki tujuh anak berkata, telekung buatannya yang mempunyai renda di bahagian tepi, bukan sahaja dijahit dengan mesin, tetapi turut menggunakan tangan dan dijual dengan harga RM45 ke atas bergantung pada saiz.
Menurutnya, setakat ini dia hanya menghasilkan tiga saiz (S, M dan L) bagi kanak-kanak dan dewasa, selain mengupah seorang pekerja untuk membantu dari segi jahitan jelujur.
"Kerja menyiapkan telekung perlukan tanggungjawab dan kesabaran. Memang diakui bagi menyiapkan sehelai telekung, agak memenatkan dan perlu banyak berkorban masa, tetapi semua itu hilang selepas lihat telekung siap dan si pemakai nampak selesa serta kemas.
“Selain jahit mengikut saiz, ada juga datang tempah ikut ukuran masing-masing kerana antara ciri utama keselesaan sepasang telekung terletak di bahagian muka. Berbanding telekung berwarna, telekung putih lebih mendapat sambutan.
“Saya tidak kisah kalau ada pelanggan datang semula untuk memperbaiki mana yang kurang kerana bagi saya, apabila mereka seronok dan gembira memakainya, itu lebih utama daripada ganjaran upah,” katanya.
Sekadar hobi
Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Che Melah berkata, dia tidak terfikir untuk melangkah jauh dalam bidang itu kerana semua itu hanya dijadikan hobi dan sekadar suka-suka.
“Semua ini lebih kepada minat dan bagi mengisi masa lapang kerana hanya saya dan suami (Wan Ahmad Wan Yaacob, 68) tinggal di rumah ini. Anak-anak telah dewasa, ada yang bekerja jauh dan mempunyai keluarga masing-masing,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: