Thursday, November 26, 2015

Kolaborasi baru Mawi, Filsuf



Mawi, Filsuf
Mawi, Filsuf
SELEPAS kejayaan Al-Nuraa...Yang 5...Yang 6, kini gandingan serasi Mawi dan Filsuf tampil dengan kolaborasi mereka berjudul Sahabat Dalam Tubuh.
Buat pertama kali mendengar single kedua ini, mungkin ramai yang berpendapat susunan muzik yang ditampilkan ini sedikit janggal.
Namun jika dihayati, Sahabat Dalam Tubuh sebenarnya memiliki keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri.
Lebih istimewa, selain isi dengan baris lirik yang mendalam, Sahabat Dalam Tubuh juga mengetengahkan elemen muzik yang memenuhi halwa telinga pendengarnya.
“Ini adalah risiko yang kami ambil di mana muzik dan lirik yang kami tampilkan agak berbeza dan ada juga yang anggap ia pelik.
“Lagi pun kita buat muzik, bukan muzik buat kita dan kami hanya mencuba.
“Alhamdulillah, sekali lagi single kami dapat perhatian pendengar,” kata Filsuf yang ditemani Mawi ketika ditemui pada sidang media pelancaran Sahabat Dalam Tubuh, baru-baru ini.
Menafikan barisan lirik ‘orang Arab, balik Arab berjubah labuh’ sebagai satu sindiran, Mawi menjelaskan ia sebenarnya adalah sebuah pantun lama.
“Tidak ada kena mengena dengan sindiran. Lirik itu sebenarnya adalah pantun lama yang kami ubah sedikit.
Lagi pun Filsuf memang sukakan pantun, jadi sebagai kelainan kami cuba selitkan dalam lagu ini,” jelasnya.
Serasi bersama
Mengulas lebih lanjut mengenai single itu, Mawi memberitahu tempoh menyiapkan lagu agak panjang memandangkan melodi yang ditampilkan agak padat.
“Kami ambil masa enam bulan untuk siapkan susunan melodinya tapi untuk rakaman kami cuma ambil masa satu jam.
“Tak sukar untuk menyanyikan lagu ini kerana kami sendiri yang hasilkan dan melodinya dekat dengan jiwa kami,” katanya.
Berkongsi pengalaman menghasilkan lagu bersama, Filsuf akui keserasian memudahkan dia dan Mawi untuk saling bekerjasama.
“Selepas mencapai kata sepakat untuk hasilkan single ini, Mawi memberikan komitmen yang tinggi dan tidak menyerahkan kepada saya semata-mata.
“Proses menyiapkan lagu ini kami lakukan bersama dari awal hingga siap sepenuhnya tanpa sebarang masalah,” jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.
Pada majlis yang sama, muzik video Sahabat Dalam Tubuh turut dilancarkan dan apa yang menariknya, video berdurasi  lima minit itu telah dirakamkan di Palestin dan Jordan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: