Tuesday, November 24, 2015

Erma cetus fenomena Mak Cun



Erma cetus fenomena Mak Cun

SIAPA sangka daripada sebuah drama sembilan episod kini Mak Cun berjaya mencipta fenomenanya yang tersendiri.
Mengakui tidak menyangka karya tersebut menerima populariti dan penerimaan hebat daripada penonton, Fatimah Rahmad,47 atau lebih dikenali sebagai Erma Fatima bersyukur kerana Mak Cun berjaya mencipta sejarah yang tersendiri.
Tidak memerlukan karakter wanita cantik, bertubuh langsing atau seksi, Mak Cun benar-benar menjadi perhatian dan mencuri hati penonton.
Berbekalkan lagak kelam kabut dan loghat Utaranya, Erma kini boleh berbangga kerana watak itu menjadi ‘trade mark’ kepada pembabitannya dalam bidang seni.
Kerana itu, selepas kejayaan drama dan teater Mak Cun, Erma nekad mahu lebih mempelbagaikan karyanya itu menerusi pelbagai cabang seni.
“Penerimaan penonton terhadap Mak Cun membuka ruang kepada saya untuk lebih memvariasikan karya ini.
“Bermula dengan telefilem, drama bersiri dan teater, saya akan cuba bawa karya ini ke hadapan menerusi filem atau animasi pula “ katanya.
Tambah penerbit, pengarah dan pelakon tersohor ini, karya berkenaan boleh diibaratkan ‘bulan jatuh ke riba’ dalam kariernya.
“Saya tidak pernah melihat Mak Cun akan menjadi sepopular dan sehebat ini.
“Sementelah watak utamanya dilakonkan saya sendiri yang saya fikir bukanlah seorang pelakon yang mampu menarik perhatian generasi kini.
“Lebih-lebih lagi jalan ceritanya berdasarkan seorang usahawan desa yang berniaga bedak sejuk sahaja,” katanya.
Lebih gembira sambutan hebat itu bukan di kalangan penonton dewasa sebaliknya golongan lebih muda juga.
“Lagu Mak Cun juga menjadi siulan peminat karya ini. Bagi saya ia satu penghargaan besar apabila sambutan diterima cukup hangat.
“Kerana itu saya ambil peluang ini untuk jenamakan Mak Cun,” katanya.
Berbicara mengenai tanggapan segelintir penonton yang menganggap Mak Cun karya yang kurang bijak, jelas Erma, sama ada penonton suka atau tidak, dia tidak mahu mengambil serius mengenai perkara itu.
“Saya anggap semua itu sebagai cabaran. Lagi pun bukan semua akan menyokong dan sukakan kerja kita.
“Apa yang penting saya akan terus berkarya dan tidak berputus asa menampilkan lebih banyak karya lain.
“Saya tidak boleh paksa mereka untuk sukakan atau hargai karya saya, jadi saya hanya akan terus melakukan kerja saya “ katanya.
Bukan sindir sesiapa
Dalam pada itu, berkongsi mengenai beberapa babak teater muzikal Mak Cun yang dikatakan menyindir segelintir pihak, kata Erma, dia dia tidak pernah bermaksud untuk menyindir mereka.
“Apa yang saya ketengahkan menerusi plot teater ini adalah realiti masyarakat kini.
“Sebagai pengarah, saya akan memberikan mesej yang berguna untuk mereka, bukan sekadar menampilkan hiburan semata.
“Kalau diikutkan, banyak lagi mesej yang hendak saya sampaikan kepada masyarakat. Bagi saya, pementasan ini inisiatif terbaik membuka mata penonton mengenai kehidupan usahawan desa yang mahu berjaya selain sikap individu itu sendiri,” katanya.
Tambahnya, mesej yang berunsur pengajaran menerusi teater itu juga diharap dapat mengubah persepsi penonton yang menganggap Mak Cun karya yang kosong.
“Mungkin mereka hanya nampak karakter Mak Cun sahaja menerusi telefilem dan drama bersiri.
“Tetapi mereka lupa di sebalik sifat kelam kabut itu, Mak Cun seorang yang bercita-cita tinggi, gemar menolong orang kampung dan mempunyai peribadi baik dalam membesarkan anak-anaknya.
“Di sinilah saya mahu penonton buka mata dan minda mengenai Mak Cun. Sebab itu, jalan ceritanya kali ini lebih istimewa kerana saya mahu mereka lihat bahawa Mak Cun bukan sekadar hiburan biasa,” katanya.
Erma turut menyelitkan kritikan sosial menerusi teater ini sebagai renungan bersama ketika ia dipentaskan.
“Penting supaya naskhah ini tidak sia-sia dihasilkan. Apa pun, bagi saya Mak Cun satu keajaiban,” katanya.
Sedikit mengenai Mak Cun, ia mengangkat kisah seorang wanita kampung yang menjalankan perusahaan bedak sejuk.
Selain Erma, Mak Cun turut dibintangi Danish, Datin Umie Aida, Datuk Rahim Razali dan Balkish Semundur Khan sebagai teraju utamanya.
Pementasan teater muzikal Mak Cun baharu sahaja melabuhkan tirainya semalam setelah menjalankan pementasan bermula 14 November lalu di Panggung Sari Istana Budaya, bagaimana pun atas sambutan dan permintaan hebat, Mak Cun akan dilanjutkan selama tiga hari lagi bermula 27 hingga 29 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: