Tuesday, November 24, 2015

Pikat burung bukan sekadar hobi



Pikat burung bukan sekadar hobi
Baharum menunjukkan burung tekukur yang berada di dalam jebak.
AKTIVITI memikat burung bukan lagi sekadar hobi atau untuk kepuasan diri.
Minat kepada unggas itu, kini boleh menjadi pendapatan sampingan yang lumayan kepada kebanyakan kaki burung kerana harganya boleh mencecah ribuan ringgit bagi seekor burung pemikat.
Malah, aktiviti menjinakkan burung seperti tekukur juga pernah menjadi kegilaan dalam kalangan masyarakat dahulu.
Namun, hobi permainan rakyat yang menguji kesabaran itu semakin terkubur jika tiada sebarang usaha untuk mengetengahkannya.
Bawa pulangan lumayan
Pemikat burung, Zulkarin Isa, 47, berkata, dia yang sudah lebih 20 tahun menjadi pemikat burung tekukur dan merbuk mengakui mampu memperoleh pendapatan tambahan walaupun hanya melakukan aktiviti itu untuk mengisi masa terluang selama ini.
Menurutnya, walaupun ada yang memandang sinis kononnya golongan sepertinya membuang masa hanya untuk menangkap seekor burung, mereka sebenarnya tidak tahu aktiviti itu membawa pulangan yang lumayan.
“Semua pandangan negatif masyarakat terhadap hobi memikat burung tidak pernah melunturkan semangat saya untuk meneruskan aktiviti ini kerana sedikit sebanyak ia mampu menambah pendapatan kami sebagai pekebun yang tidak seberapa ketika ini,” katanya.
Zulkarin berkata, motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki juga adalah hasil daripada jualan dua burung tekukur yang sudah dilatih selama dua tahun untuk menjadi burung pemikat kepada seorang kaki burung pada tahun lepas.
Jelasnya, setakat ini dia berjaya menjual sehingga RM2,700 bagi seekor burung pemikat.
Manakala, harga pasaran burung pemikat pula bergantung kepada banyak faktor seperti kemerduan bunyi dan kemampuan untuk membunuh iaitu istilah kaki burung yang merujuk kepada jumlah burung liar yang dapat ditangkap menggunakannya sebagai pemikat.
Guna jebak atau racik
Bagi rakannya, Mohd Faizal Jamil, 33, berkata, terdapat dua kaedah popular yang digunakan kaki burung untuk menangkap burung liar iaitu menggunakan sejenis alat yang dinamakan racik atau jebak.
Menurutnya, kedua-dua kaedah itu memerlukan burung pemikat bagi menarik perhatian burung liar.
Jelasnya, perbezaan kedua-dua kaedah tersebut ialah racik adalah tali jerat yang dipacak di tanah dan akan menjerut kaki burung liar yang datang untuk berlaga dengan burung pemikat.
Sementara jebak pula adalah perangkap yang menyerkap burung yang hinggap pada sebatang ranting kayu yang berfungsi sebagai suis ketika cuba menyerang burung pemikat.
Mohd Faizal berkata, burung pemikat juga akan lebih selamat daripada haiwan pemangsa seperti burung helang dan biawak kerana ia terkurung di dalam bekas berbentuk sangkar sekiranya menggunakan jebak berbanding racik.
Bunyi suara burung pemikat yang baik bukan faktor penentu seorang pemikat akan pulang dengan hasil tangkapan memuaskan kerana kegarangan dan keberanian burung liar untuk datang berlaga dengan burung pemikat turut memainkan peranan.
“Tidak semua burung liar yang berjaya ditangkap boleh menjadi burung pemikat, kerana ia bergantung kepada nasib. Ada burung yang hanya dilatih beberapa bulan sahaja dengan membawanya ke hutan untuk memikat sebelum mahu berbunyi memanggil burung liar.
“Saya lebih gemar menggunakan jebak ketika memikat burung kerana merasakan burung pemikat saya lebih selamat daripada serangan musuh kerana terkurung di dalam jebak berbanding menggunakan racik di mana burung pemikat tidak terlindung,” katanya.
Buat jebak sendiri jimat kos
Sementara itu, rata-rata kaki burung yang ditemui mengaku boleh membuat sendiri peralatan aktiviti memikat burung seperti racik, jebak, bakul burung, tali pengikat dan tumang.
Bagi Azman Abdul Jamal, 33, yang sudah tujuh tahun memikat burung tekukur berkata, walaupun semua peralatan tersebut boleh dibeli dan harganya pula tidak mahal, namun ramai yang memilih untuk membuatnya sendiri demi kepuasan.
“Kaki burung lebih suka buat sendiri atau beli daripada rakan pemikat lain kerana peralatan tersebut boleh dibuat mengikut kehendak dan kesesuaian penggunaan mereka sendiri berbanding yang dibeli di pasaran.
“Bagaimanapun, ada di antara kami yang membeli jebak dan racik daripada rakan lain sekali gus memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan,” katanya.
Menurutnya, racik yang terdapat di pasaran diperbuat daripada tali yang bersaiz agak kasar berbanding dengan membuatnya sendiri di mana mereka boleh memilih saiz yang dikehendaki.
Bagi Baharum Said, 57, pula, dia yang baharu berjinak-jinak dengan aktiviti memikat burung mengakui seronok setiap kali mendengar bunyi burung tekukur berkicauan setiap kali membawa burung tekukur yang dihadiahkan oleh rakannya untuk dilatih menjadi burung pemikat.
“Walaupun saya belum merasai nikmat berjaya menangkap burung hutan, namun saya rasa tenang setiap kali mendengar bunyi burung bersahutan dan turut berasa teruja apabila terdapat burung liar yang menghampiri jebak yang saya pasang.
“Saya harap burung yang saya latih ini akan mampu menjadi burung pemikat dengan cepat kerana saya sudah tidak sabar untuk menangkap dan melatih burung yang saya tangkap sendiri untuk dijadikan burung pemikat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: