Tuesday, November 3, 2015

Rezeki menjelang musim tengkujuh



Rezeki menjelang musim tengkujuh
Hussin menunjukkan tukir PVC sepanjang satu meter yang digunakan untuk menangkap belut
RANTAU PANJANG– Menjelang musim tengkujuh, penduduk mula beralih kepada sajian ikan sungai dan secara tidak langsung, peningkatan permintaan ikan sungai menyumbang kepada pertambahan pendapatan pencari belut di sini.

Mohd Hussin Wook, 50, merupakan antara pencari belut yang mendapat manfaat daripada keadaan tersebut dan katanya, dia mampu memperoleh hasil tangkapan sebanyak 1 kilogram sehari menggunakan alat bermana tukir.

Menurutnya, tukir yang digunakannya dibuat sendiri menggunakan paip PVC, hasil pengamatan terhadap peralatan digunakan penangkap belut di negara jiran.

"Kebiasaannya saya tahan tukir di bendang dekat Kampung Gual To' Deh pada sebelah pagi dan memungut hasil tangkapan pada sebelah petang.

"Umpan yang digunakan agak unik kerana saya guna tanah busut dicampurkan dengan air dan ikan rebus," katanya yang mengakui hasil tangkapan belut dapat menambah pendapatan keluarganya.

Tambahnya, bau ikan bersama tanah yang terhasil daripada adunan umpan tersebut berjaya menarik perhatian dua ekor belut untuk masuk ke setiap tukir dan untuk menambah hasil tangkapan, dia menahan hampir 10 tukir di beberapa kawasan.

Katanya, hasil tangkapan akan dijual dengan harga RM20 sekilogram kepada peniaga yang datang ke rumahnya untuk diperniagakan di gerai-gerai sepanjang jalan baharu Pasir Mas-Rantau Panjang.

"Ada juga pemilik restoran datang membeli belut yang saya tangkap untuk dijadikan sajian di kedai makan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: