Friday, November 27, 2015

Karyawan Berjaya Kutip RM7,000 Bantu Ooi Eow Jin




Ooi Eow Jin bersama isterinya, Khaw Lean Kee. 
PETALING JAYA: Selepas berita mengenai kesempitan hidup komposer veteran Datuk Ooi Eow Jin menjadi perhatian, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berjaya mengumpul kira-kira RM7,000 hasil sumbangan daripada orang ramai.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya akan teruskan usaha mengumpul dana untuk Ooi daripada badan korporat pula agar bebanan kehidupan komposer itu akan berkurang.

"Setakat ini kami berjaya mengumpul dana RM7,000 dan usaha itu diteruskan dengan memohon jasa baik syarikat-syarikat korporat pula.

"Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu tentang kehidupan Datuk Ooi yang susah, ditambah pula dengan masalah kesihatan penyakit Alzheimer yang ditanggung.
"Saya harap, usaha yang dilakukan ramai pihak ini berhasil," katanya kepada mStar Online.
Freddie ditemui pada sidang media sempena majlis makan malam untuk mengutip dana kepada komposer itu di Meesha Sukira@M-Cafe, Plaza Damansara di sini pada Khamis.
SILA KLIK: Tinggal Di Rumah Ihsan Gereja, RTM Bantu Komposer Ooi Eow Jin

Hadir sama Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail dan isteri komposer itu Datin Khaw Lean Kee.

Kehidupan Ooi, 77, yang kini semakin melarat turut mendapat perhatian RTM untuk menganjurkan Konsert Orkestra pada 15 Disember depan bagi meringankan beban beliau.

Dalam pada itu, kata Freddie, sebelum konsert itu berlangsung, sebuah majlis makan malam bersama Ooi akan diadakan di restoran Meesha Sukira@M-Cafe, Plaza Damansara di sini pada 8 Disember depani bagi menambahkan lagi kutipan dana kebajikan beliau.

Ooi Eow Jin (tengah) bersama Mokhzani Ismail (kiri) dan Freddie Fernandez.
"Majlis tersebut hanya terhad untuk 40 orang dengan bayaran minima RM100.

"Ini juga peluang buat peminat Datuk Ooi meluangkan masa bersama dan digalakkan untuk menderma lebih daripada harga yang ditetapkan," ujarnya.

Sementara itu Ooi pula tidak menyangka dapat kembali meraih perhatian daripada ramai pihak.

Malah beliau sangat merindui suasana bersama rakan-rakan muzik dalam menghasilkan sesebuah karya tertentu.

"Saya bersyukur apabila diberi perhatian daripada ramai orang. Saya tidak minta semua ini tetapi apa yang saya dapat sekarang ini adalah sesuatu yang sangat bermakna.

"Apa-apapun saya merindui momen menghasilkan lagu bersama rakan-rakan di mana kami tidak pernah mencipta lagu kerana mahu mengejar populariti, sebaliknya minat yang mendalam pada muzik," tuturnya.

Ooi yang pernah bertugas sebagai pengarah muzik di TV3 suatu ketika dahulu telah mencipta lagu-lagu popular antaranya Gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Dia Ibuku dan Hati Yang Rapuh.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyumbang terus ke akaun Public Bank Persatuan Karyawan iaitu 3108024130.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 013-2245717 (Anuar) atau 014-7176276 (Amad). 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: