Nassier Wahab
BERGELAR seorang penyanyi ‘versatil’ bukanlah satu perkara yang mudah. Perkara yang sama turut diakui penyanyi Nassier Wahab yang kini sibuk dengan penyertaannya dalam program Gegar Vaganza 2 (GV2).
Dia yang membawakan lagu l’ll Be There nyanyian asal The Jackson 5 pada konsert minggu lalu akui tertekan untuk melaksanakan tugas itu.
“Inilah kali pertama saya nyanyikan lagu tersebut dan ia benar-benar mencabar kerana lagu-lagu seperti ini bukanlah di dalam bidang saya.
“Mana tidaknya, selepas lima hari berlatih, saya masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan lagu tersebut, tambahan pula lagu asalnya dinyanyikan oleh lima orang penyanyi.
“Memang saya tidak boleh tidur malam memikirkan bagaimana mahu selesaikan masalah itu dan saya bernazar untuk berpuasa jika berjaya menyampaikannya dengan baik.
“Alhamdulillah, saya mampu sampaikannya dengan baik dan pada masa yang sama komen pihak juri juga positif, jadi saya harus berpuasa,” katanya teruja.
Biarpun setiap minggu berhadapan dengan cabaran, Nassier tidak menjadikannya sebagai satu alasan untuk berputus asa, malah lebih komited untuk buktikan kemampuannya sebagai seorang penyanyi.
“Setiap minggu kami akan dicabar dengan tugasan menyampaikan lagu-lagu yang bukan genre keselesaan kami.
“Ada masanya saya tertekan sehinggakan bertanya dengan diri sendiri kenapa saya boleh sertai program ini.
“Tapi itu bukan alasan. Memandangkan ini satu pertandingan dan akan ada juri yang beri komen, jadi saya harus bekerja keras,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: