Tuesday, November 24, 2015

Mesej Suara Anak Sebelum Ajal Pengubat Rindu - Hezry Hashim




Penyampai radio KL FM iaitu Hezry Hashim reda dengan pemergian anak lelaki tunggalnya, Mohamad Amir, 22, yang terlibat dalam kemalangan pada 18 November lalu. 
PETALING JAYA: Penyampai radio KL FM iaitu Hezry Hashim memberitahu isterinya masih trauma dengan kehilangan mengejut anak lelaki tunggal mereka Mohamad Amir, 22, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 18 November lalu.

Hezry berkata, isterinya, Siti Surita Sheikh Salim masih terngiang-ngiang suara Allahyarham setiap kali mendengar kembali mesej suara terakhir yang dihantar kepada isterinya itu menerusi aplikasi WhatsApp sejam sebelum terlibat nahas.
"Pada hari kejadian Amir menghantar mesej suara kepada isteri saya pada pukul 9.30 pagi memberitahu dia akan pulang ke rumah selepas selesai kerja kira-kira sejam sebelum kemalangan tersebut.

"Dalam mesej berkenaan dia mengadu berasa penat kerana bekerja lebih masa dan ingin berehat apabila pulang ke rumah.

"Isteri saya trauma apabila mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa anak kami dan sehingga kini dia masih menyimpan mesej suara yang dihantar arwah kepadanya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Mohamad Amir meninggal dunia pada usia 22 tahun.
Tambah Hezry, mesej suara berkenaan menjadi pengubat rindu mereka sekeluarga kepada arwah.
Selain Mohamad Amir, Hezry dan Siti Surita mempunyai tiga lagi cahaya mata perempuan.

Menceritakan kejadian tersebut, Hezry berkata, anaknya yang menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Putrajaya ke rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini.

Mohamad Amir dipercayai gagal mengelak daripada sebuah kenderaan yang ingin membuat pusingan U di Lestari Perdana, Seri Kembangan dekat sini.

Jelas Hezry, Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian dan mereka dimaklumkan mengenai perkara itu kira-kira dua jam selepas insiden berlaku.

Dalam pada itu, Hezry berkata, meskipun sedih dengan kehilangan anak lelaki tunggal mereka itu namun dia reda dengan ketentuan Allah.

"Arwah adalah harapan saya kerana dia anak lelaki tunggal kami tetapi dia dijemput ke sisi-Nya pada usia yang begitu muda.

"Sebagai bapa sudah tentu saya sedih dengan kehilangannya tetapi sebagai seorang Islam saya reda dengan berita berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: