Tuesday, November 24, 2015

Tiada Layanan Istimewa Untuk Najwa Latif Di Universiti




Najwa selesa dapat menjalani kehidupan sebagai penuntut universiti tanpa mendapat layanan istimewa daripada rakan sekuliah hanya kerana dia seorang selebriti. 
PETALING JAYA: Penyanyi Najwa Latif tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa daripada rakan sekuliahnya di Universiti Antarabangsa UNITAR biarpun ramai mengetahui dia seorang selebriti dikenali.

Najwa, 20, berkata, dia selesa dengan keadaan tersebut kerana mahu menempuh alam universiti secara normal seperti mana penuntut lain.

"Masa mula-mula dahulu ada juga kawan-kawan mengusik tetapi lama kelamaan perkara itu berlalu begitu sahaja dan mereka melayan saya seperti individu biasa.

"Saya lebih selesa begitu kerana saya mahukan kehidupan normal tanpa sebarang layanan istimewa daripada mereka hanya kerana saya seorang selebriti," katanya kepada mStar Online.

Najwa ditemui ketika hadir ke Menara Star di sini bagi mempromosikan single terbaharunya berjudul Satu.

Najwa baharu sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Satu.
Tambah Najwa, sekiranya berkelapangan dia sering menghabiskan masa bersama rakan sekuliahnya dengan menonton wayang atau berkumpul untuk berbincang mengenai pelajaran.

"Saya jarang bersosial kerana waktu kuliah dan jadual persembahan yang padat dihujung minggu tetapi sekiranya berkesempatan saya akan sertai mereka.

"Ia merapatkan hubungan kami sebagai rakan selain dapat menghilangkan tekanan apabila dapat bersosial bersama mereka," ujarnya.

Najwa yang kini berada di tahun kedua dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) juga adalah duta kepada UNITAR.

Dalam pada itu, bercakap mengenai Satu, Najwa berkata, lagu berkenaan ditulis bersama kakaknya, Syafiqah Latif ketika usianya 16 tahun.

Bagaimanapun kata Najwa, dia menyimpan lagu tersebut sebelum mengambil keputusan untuk melancarkannya sebagai single baru-baru ini.
Penyanyi berusia 20 tahun ini bakal muncul dengan album terbaharu tahun hadapan.
"Ia mengisahkan tentang peluang kedua yang diberikan kepada insan yang pernah melukai hati seseorang dan saya dan kakak telah mencipta lagu itu ketika saya berusia 16 tahun.

"Agak lama ia disimpan dan akhirnya dengan persetujuan pihak syarikat rakaman saya lancarkan sebagai single terbaharu," ujarnya.

Tambah Najwa, Satu adalah single keempat daripada album terbaharunya yang dijangka akan berada di pasaran pada tahun hadapan.

Terdahulu penyanyi itu pernah melancarkan tiga lagi single iaitu Satu Hari Nanti, Hilangdan Aku.

Bercakap lanjut mengenai album terbaharunya, Najwa berkata, ia bakal memuatkan 10 buah lagu termasuk sebuah lagi ciptaan Alif (Sleeq) dan seorang komposer yang masih dirahsiakan identitinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: