Saturday, November 28, 2015

Osman Ali Sedia 'Langit Cinta' Dibandingkan Dengan 'Ombak Rindu'




Osman ALi. 
PETALING JAYA: Pengarah filem Langit Cinta, Osman Ali sudah bersedia dengan pandangan masyarakat yang akan membandingkan karya baharunya itu dengan Ombak Rindu, yang pernah menjadi fenomena pada akhir tahun 2011.

Bagaimanapun Osman berkata, Langit Cinta merupakan naskhah cinta yang jauh berbeza daripada Ombak Rindu apabila ia memberikan kepuasan buat penggemar filem-filem cinta.

"Dalam Ombak Rindu, watak heroin digambarkan lembut dan mengalah dengan cinta, tetapi menerusi Langit Cinta, watak heroin lebih tabah dan cekal menentang dugaan hidup.

"Dari segi garapan muzik juga kita tidak ikut cara Ombak Rindu yang banyak mengulang lagu tema dalam filem sebaliknya lagu tema Langit Cinta cuma akan keluar hanya pada babak tertentu yang diperlukan sahaja.

"Di sini sudah jelas menunjukkan tiada apa yang perlu dibandingkan, tambahan pula barisan pelakon yang ditambilkan juga berbeza," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, mengenai Langit Cinta, ia merupakan kali pertama karyanya itu diadaptasi ke sebuah novel di mana ia akan dipasarkan sebelum filem tersebut ditayangkan pada penghujung tahun ini.

Osman bersama barisan pelakon filem Langit Cinta.
"Bagi saya, ia satu penghormatan apabila filem ini diadaptasi kepada novel di mana ia jarang-jarang dibuat oleh mana-mana pihak.

"Apabila novel karya ini akan keluar dahulu sebelum filem ditayangkan, ia juga salah satu strategi untuk menarik peminat novel itu ke panggung wayang pula.

"Saya harap ia akan mendapat sambutan box office seperti filem Ombak Rindu empat tahun lalu," ujarnya.

Filem Langit Cinta menampilkan barisan pelakon seperti Keith Foo, Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan dan Dian P. Ramlee.

Ia mengisahkan percintaan antara Alif Zulkarnain (lakonan Keith Foo) dan Khadijah (Nur Fazura). Alif merupakan anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan keluarganya.

Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia mulajatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadijah.

Biarpun hubungannya dengan Khadijah ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan wanita itu. Bermula dari situ, kehidupan Alif penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Langit Cinta bakal ditayangkan pada 7 Januari 2016.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: