Antara filem lakonan Hemsworth.
BIARPUN kini berada di puncak kerjaya, situasi itu sebenarnya tidak begitu menyenangkan buat aktor berbadan sasa, Chris Hemsworth.
Bagi anak kelahiran Melbourne, Victoria, Australia ini, soal glamor dan populariti bukanlah keutamaan sebaliknya kepuasan.
"Kamu masuk ke Hollywood dan meraih pencapaian yang hebat.
"Tak lama kemudian, barulah kamu menyedari ia langsung tidak memberi kepuasan seperti yang difikirkan sebelum ini.
"Langsung tidak memperbaiki apa pun," akuinya kepada majalah GQ Australia edisi Februari 2015.
Sentiasa menjadi pilihan untuk membawakan watak utama dalam setiap genre filem lakonannya, bintang filem Blackhart ini bagaimanapun mengakui kemampuannya sebagai pelakon lebih terserlah menerusi filem berskala kecil seperti Rush (2013).
"Semuanya seakan berubah selepas saya membintangi filem Rush.
"Biarpun filem itu tidak berjaya seperti mana filem yang lain selepas itu, namun Rush banyak memberi saya ruang gerak, pilihan dan pertemuan yang lebih banyak," katanya.
Jelas teraju utama filem Red Dawn ini, ketika itu barulah terasa dirinya adalah seorang pelakon yang berbakat besar.
"Oh, Wow! Kau seorang aktor!," katanya
Hakikatnya, jejaka kacak ini terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk berjaya hingga ke tahap hari ini.
Pernah menganggur selama lapan bulan ketika menetap di Los Angeles, situasi itu membuatkan pelakon filem The Cabin in the Woods hampir-hampir berputus asa.
Padahal ketika itu, pantang ada peluang uji bakat, dia pasti tidak mahu ketinggalan mencuba nasib.
"Bayangkan saya tidak bekerja selama lapan bulan dan tinggal di Los Angeles yang mana kos taraf hidup di sana cukup tinggi.
"Saya bertanya kepada diri saya apakah benar jalan ini yang saya pilih. Lalu, saya mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke kampung halaman.
"Tetapi, saya sedar segala dugaan dan cabaran yang saya hadapi sebenarnya adalah satu ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran saya untuk berdepan dengan realiti hidup.
"Dan, benarlah kata orang. Seandainya kita terus berpegang teguh kepada kepercayaan yang ada dalam diri kita, rezeki akan tetap datang kepada kita. Hanya cepat atau lambat sahaja," katanya sambil mengimbas kembali kenangan lamanya itu.
Adik jadi saingan
Pun begitu, panggilan telefon daripada aktor dan pengarah terkenal, Kenneth Branagh telah merubah keseluruhan hidup Hemsworth.
"Ken (panggilan untuk Kenneth) menghubungi saya untuk menghadiri uji bakat terakhir bagi filem Thor.
Saya sangka peluang sudah tertutup buat saya kerana tidak berupaya memikat hati Ken dan pihak Marvel Studios.
"Bahkan, saya sendiri tidak sangka akan terpilih untuk membintangi filem Thor kerana mereka yang menghadiri uji bakatnya semuanya memiliki karisma serta kriteria yang menepati watak Thor itu sendiri," katanya.
Jelasnya, saingan terdekatnya pada uji bakat itu adalah adiknya sendiri, Liam Hemsworth yang sebenarnya di senarai pendek sebagai empat calon pilihan untuk watak Thor sedangkan Chris gagal menempatkan diri ke peringkat tersebut.
"Daripada tiada kerja, sekarang ini saya bekerja tidak henti (ketawa).
"Saya amat bersyukur dan merasakan diri saya sebagai seorang yang amat bertuah dengan segala peluang yang diberikan kepada saya.
"Ternyata, ia menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus memberikan hasil kerja yang terbaik," katanya.
Jalani diet ketat
Sebelum ini, Hemsworth sentiasa tampil menawan dalam setiap filem lakonannya sementelahan lagi apabila memiliki tubuh yang berotot kekar sekali gus menjadi daya penarik.
Pun begitu, suami kepada Elsa Pataky ini membuat kelainan apabila muncul dalam filem terbaharunya, In The Heart of The Sea.
Masakan tidak, filem arahan Ron Howard ini memerlukan Hemsworth menurunkan berat badannya secara ekstrem melalui satu program diet khas.
"Baru saja mencuba program diet baru yang diberi nama Lost At Sea. Aku tidak menyarankannya kepada sesiapa," tulisnya di Twitter.
Malah, aktor berusia 32 tahun itu mengakui hanya memikirkan mengenai makanan setiap kali menjalani penggambaran filem itu.
"Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, bentuk badan saya semakin kurus.
"Saya kehilangan 500 sehingga 700 kalori dalam sehari.
"Selepas empat minggu, situasinya benar-benar tidak enak, itulah penderitaan,” katanya lagi seperti dilaporkan oleh DailyMail.
Menurut laman DailyMail, Hemsworth sudah kehilangan 2000 hingga 3000 kalori sehingga ke hari ini.
Selain Hemsworth, filem daripada adaptasi novel Nathaniel Philbrick yang berjudul sama ini turut dibintangi oleh Michelle Fairley, Cillian Murphy, Brendan Gleeson, Tom Holland dan Ben Whishaw.
In The Heart Of The Sea berlatarbelakangkan tahun 1820 apabila Kapten George Pollard, Jr. (Benjamin Walker) serta anak-anak kapal Owen Chase (Chris Hemsworth), Matthew Joy (Cillian Murphy), dan Thomas Nickerson (Tom Holland) mengembara lautan luas di atas sebuah kapal yang dinamakan Essex. Kapal itu karam setelah dilanggar oleh seekor ikan paus, menyebabkan kapten dan anak-anak kapal itu terkandas di laut selama 90 hari.
Filem ini dilancarkan pada 3 Disember depan.
IN THE HEART OF THE SEA
PENGARAH: Ron Howard
PELAKON: Chris Hemsworth, Michelle Fairley, Cillian Murphy, Brendan Gleeson, Tom Holland, Ben Whishaw
GENRE: Drama
TARIKH TAYANGAN: 3 Disember 2015
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: