Saturday, November 28, 2015

Tuah lelaki mirip Mr Os



Tuah lelaki mirip Mr Os
Mohd Suhaimi mendapat gelaran Mie Oss gara-gara wajahnya yang mirip seperti Mr Os.
GEORGETOWN - Sejak remaja lelaki ini sering kali mendapat jolokan dengan nama Os gara-gara wajahnya yang mirip seperti pelawak terkenal tanah air itu.
Oleh kerana itu jugalah, Mohd Suhaimi Mohd Hashim itu sehingga kini dikenali sebagai Mie Oss dalam kalangan rakan-rakan.
Jika Mr Os mempunyai bakat tersendiri, tidak kurang juga bagi lelaki ini yang turut mempunyai bakat dalam bidang lakonan, pengacaraan dan juga boria.
Dek kerana bakat-bakat unik berkenaan, pemuda yang berasal dari Kampung Rawa Pulau Pinang itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menyertai Rancangan Realiti Tiada Lama, Tiada Baru anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika berusia 18 tahun.
Rancangan berkenaan menampilkan individu yang mirip dengan selebriti tanah air pada waktu itu.
Mendapat perhatian orang ramai, Mie Oss terus aktif dalam bidang lakonan termasuk membintangi Filem Cicak Man 2, Drama Chombi Anak Mamu dan juga terbaru Filem Chowrasta.
Personalitinya yang mudah mesra dan beramah mesra membolehkan beliau terus melangkah jauh dengan terjun ke bidang penyampaian radio.
Menurutnya, pada 2014 dia mula menyertai Pertandingan Pencarian Bakat Pi Mai FM.
“Alhamdulillah pada ketika itu saya mendapat tempat naib juara dan kemudiannya meneruskan kerjaya sebagai penyampai Radio Pi Mai FM.
“Itu adalah satu bidang yang baru bagi saya dan menambahkan pengalaman dalam bidang pengacaraan, namun kemudiannya atas faktor kesihatan saya terpaksa meninggalkan bidang berkenaan pada Mei lalu,” katanya.
Tidak pernah berputus asa walaupun diuji sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda, semangat lelaki berusia 28 tahun itu tetap kuat.
Pengalamannya dalam bidang pengacaraan membolehkannya mengacarakan majlis perkahwinan sehingga mempunyai syarikatnya sendiri yang dinamakan Ozz Maju Ventures.
Hampir pulih daripada kecederaan di bahagian kakinya, Mie Oss tetap mengacara majlis perkahwinan termasuk ke Johor Bahru dan juga Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia tidak pernah mengejar populariti.
“Tetapi ini adalah minat saya, dalam kalangan ahli keluarga, hanya saya yang meminati bidang seni, walaupun begitu mereka tetap menyokongnya.
“Alhamdulillah saya dikurniakan ahli keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong,” katanya.
Antara pengalaman manisnya termasuk bertemu sendiri ‘kembar seirasnya’ iaitu Mr Os.
Bertemunya ketika program di sebuah stesen televisyen, Mie Oss mengakui Mr Os mempunyai personaliti yang unik.
“Dia di atas pentas begitu kelakar namun ketika berhadapan dengannya dia seorang yang agak serius, namun tidak lokek memberi tunjuk ajar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: