Belia kampung, Syamrin Kamarudin mencium ular tedung ketika membuat persembahan di Kampung Paya Lebar, semalam.
MASJID TANAH - Umurnya hanya 19 tahun, namun aksi lincahnya bermain dengan ular menarik perhatian ramai.
Muhammad Azim Ramli berkata, minatnya untuk bermain dengan ular makin membara hingga dia mengambil keputusan menyertai Melaka Snake Bite Club di Sungai Udang Melaka, Mac lalu.
Menurutnya, penduduk Kampung Paya Lebar sering terserempak ular, terutama ketika membawa pelancong menyusuri Sungai Paya Lebar, dekat sini.
Malah katanya, ada masa pemandu pelancong turut menunjukkan cara menangkap ular kepada pelancong bagi memberi pengalaman lain dari yang lain.
"Pelancong bila jumpa ular memang banyak keletah, ada yang melompat ke dalam sungai sebab terkejut dengan aksi spontan kami menangkap ular terutama ular yang berada di dahan pokok.
"Ular yang ditangkap seperti ular sawa, tedung selar, tiong dan ular tikus akan dilepaskan berdekatan kawasan hutan dan terdapat juga yang digunakan untuk latihan bagi membuat persembahan di kampung," katanya.
Katanya, minatnya untuk menangkap ular bermula dari kecil namun ketika itu belum ada keberanian, hinggalah dia bergaul dengan penjinak ular dan mempelajari cara menangkap ular yang betul.
“Bukan hanya menangkap ular dan menjinakkan ular untuk persembahan, kami juga sering dihubungi untuk menangkap ular yang masuk ke dalam rumah penduduk,” katanya semalam.
Sementara itu, Pengerusi Belia 4B Kawasan Paya Lebar, Syed Fauzi Syed Abdullah berkata, dengan adanya penjinak ular terdiri daripada belia kampung dapat mempelbagaikan lagi produk pelancongan kampung ini yang sering dikunjungi pelancong sama ada dalam dan luar negara.
Menurutnya, aktiviti ini juga dapat memberi keunikan kepada Kampung Paya Lebar memandangkan produk seperti ini jarang ditemui.
“Sekurang-kurangnya belia kampung ini juga mempunyai aktiviti bermanfaat selain memberi ruang mereka menyumbang kepada kampung.
“Kita juga bersyukur setiap program dianjurkan belia mendapat sokongan penduduk selain Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin,” katanya.
Difahamkan, seramai lapan hingga 10 belia berumur 17 hingga 30 tahun yang mengambil bahagian dalam pertunjukan ular setiap kali program dianjurkan dalam kampung tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: