Erma Fatima
SAMBUTAN yang menggalakkan terhadap teater muzikal Mak Cun yang sepatutnya menutup tirainya pada 22 November lalu di Istana Budaya, kini dilanjutkan dari 27 hingga 29 November ini.
Pengarah dan penerbitnya, Erma Fatima berkata, keputusan itu dibuat atas permintaan orang ramai yang belum berkesempatan untuk menonton pementasan teater itu.
“Setiap hari pementasan, tiket selalunya habis, dan ada antara penonton dari negeri lain tidak berkesempatan menonton teater ini.
“Justeru Alhamdulillah keputusan diambil selepas perbincangan dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamad Juhari Shaarani,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis sidang media teater Bawang Putih Bawang Merah, baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan penonton di luar jangkaan sehingga melanjutkannya ke tarikh berikutnya.
“Disebabkan lanjutan itu, teater Bawang Putih Bawang Merah yang sepatutnya mula dipentaskan pada 27 November sehingga 6 Disember terpaksa ditunda ke tarikh 3 hingga 8 Disember.
“Syukurlah teater tersebut arahan saya juga, justeru ia mudah untuk diubah tarikhnya,” katanya.
Teater Bawang Putih Bawang Merah menampilkan beberapa pelakon popular seperti, Syarul Ridzuan, Juliana Evans, Nur Fathia Latiff, Nabila Huda, Fazlina Ahmad Daud, Beto Khusyairi dan Tya Arifin.
Pilih pelakon
Pada masa sama, Erma akui dia suka memilih pelakon yang mempunyai kelebihan untuk muka mereka 'dijual'.
“Saya mengaku memang suka memilih pelakon yang mana wajah mereka disukai penonton justeru dapat menarik penonton untuk datang menonton pementasan ini.
“Setelah menghasilkan satu naskhah yang sukar, pastinya pemilihan wajah pelakon yang boleh dijual itu penting agar ia mendapat sambutan.
“Namun tidak dinafikan bakat lakonan mereka juga akan saya lihat. Kerana pentas teater adalah platform di mana bakat lakonan pelakon dapat dinilai.
“Jika pelakon itu gagal bawa lakonan di atas pentas dengan baik, maka bagi saya dia bukanlah pelakon hebat,” katanya.
Mengulas mengenai ketahanannya apabila bertanggungjawab untuk dua pementasan dalam waktu terdekat, Erma berkata, dia suka bekerja dalam keadaan tekanan.
“Insya-ALLAH saya boleh melakukannya dengan baik walaupun tempoh latihan agak terbatas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: