Monday, November 30, 2015

Banglo Berkunci penuh debaran, kejutan



Banglo Berkunci penuh debaran, kejutan
Antara babak dalam filem Banglo Berkunci.
SELEPAS berjaya dengan naskhah Highland Tower, Mangkin Prestij kembali dengan naskhah Banglo Berkunci yang sudah mula ditayangkan di pawagam sejak 26 November lalu.
Filem yang menampilkan Dharma Aizat selaku pengarah ini dijayakan oleh pelakon baru seperti Fadlan Hazim, Adiba Yunus, Fahmy Reza dan turut dibantu aktres cantik, Intan Ladyana.
Banglo Berkunci mengisahkan tentang tiga orang anak muda, Danny (Fadlan), Boy (Adiba Yunus) dan Adam (Fahmy Reza) yang suka melakukan aktiviti paranormal.
Mereka gemar memilih tempat-tempat mistik untuk mencari kepastian tentang adakah benar hantu itu wujud.
Satu hari mereka telah pergi ke sebuah banglo, di mana banglo tersebut mempunyai sejarah hitam. Penghuni banglo itu dikatakan telah membunuh ahli keluarganya tanpa sedar, dan perkara tersebut telah viral di laman sosial.
Tiga anak muda ini  tetap ingin menerokai kejadian misteri, di sebalik banglo itu. Tapi sebelum masuk, mereka perlu mematuhi syarat yang mereka hanya boleh “masuk selepas Isyak dan keluar selepas subuh“.
Secara keseluruhannya, pada pandangan penulis, karya ini mempunyai sebuah jalan cerita yang menarik, bersesuaian dengan kisah-kisah rumah yang dikatakan berhantu seperti yang diceritakan oleh pihak tertentu.
Biarpun jalan cerita filem ini tidak banyak bezanya dengan cerita yang pernah didengari sebelum ini, namun apabila ia divisualkan, ia tetap menjadi satu tarikan tersendiri untuk ditonton.
Bukan itu sahaja, elemen-elemen seram yang diserapkan di dalam filem ini meliputi kesan bunyi, pencahayaan dan juga pergerakan kamera membuatkan filem ini menarik untuk ditonton.
Malah kerana elemen tersebut jugalah, apabila mereka mula masuk ke dalam banglo tersebut, debaran mula terasa.
Biarpun ada ketikanya, penonton sudah boleh menjangka bila babak seram akan muncul, ia tetap mengundang kejutan buat penonton.
Intan penyelamat
Namun sedikit mengecewakan dari segi lakonan apabila penglibatan pelakon muda gagal memberikan lakonan mantap kepada filem ini.
Ada ketikanya mereka kelihatan terlalu mencuba untuk nampak ketakutan dan ada ketikanya mereka nampak buat-buat takut.
Mujurlah kemunculan Intan (biarpun hanya untuk beberapa babak) dilihat banyak menyelamatkan perjalanan filem ini.
Dengan solekan dan lakonan yang tampak misteri, Intan berjaya meletakkan dirinya sebagai pelakon yang baik.
Cuma pada pandangan penulis, sememangnya tidak adil untuk membandingkan pelakon baru dan agak lama seperti Intan, tapi penulis percaya pelakon-pelakon baru tersebut telah cuba memberi yang terbaik dalam lakonan mereka.
Justeru bagi mereka yang ingin mengetahui perjalanan cerita ini dengan lebih lanjut; siapa Intan di dalam filem tersebut? Mengapa mereka yang dibenarkan masuk selepas Isyak dan keluar selepas Subuh?
Jangan lupa untuk mendapatkan jawapan dengan menonton Banglo Berkunci di pawagam.
Banglo Berkunci
PENGARAH : Dharma Aizat
PELAKON : Intan Ladyana, Fadlan Hazim, Adiba Yunus & Fahmy Reza.
GENRE : Seram
DURASI : 1jam 30minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 26 Nov 2015
KESELURUHAN : * * * BESTLAH...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: