Shaharil Aria (kanan) bersama seorang penduduk kampung di kebun cili bara miliknya di Kampung Paya Tambang.
TEMERLOH – Seorang bekas jurujual kereta tekad mengeluarkan wang simpanan RM40,000 bagi memulakan projek tanaman cili bara yang kini membuahkan hasil lumayan walaupun baru terlibat dalam bidang pertanian awal tahun lalu.
Shaharil Aria Alias, 29, kini boleh tersenyum puas apabila tanaman cili menggunakan sistem fertigasi yang diusahakan sejak Februari lalu kini mampu mengeluarkan hasil sekitar 80 kilogram setiap hari.
Menurutnya, dia yang kekurangan tanah mengambil keputusan menyewa sebidang tanah milik seorang penduduk kampung berkeluasan 0.3 hektar di belakang rumahnya pada awal tahun lalu dan mula terlibat dalam projek tersebut.
“Saya tidak ada pengalaman dalam bidang pertanian dan terpaksa berguru dengan seorang pengusaha tanaman cili bara di Selangor.
“Dengan wang simpanan yang saya kumpul selama tujuh tahun sebagai jurujual kereta, saya kemudian ambil keputusan keluarkan kesemua wang tersebut untuk dijadikan modal permulaan.
“Selepas tiga bulan akhirnya pokok cili saya mula buahkan hasil yang lumayan apabila mampu mengeluarkan hasil melebihi 100 kilogram setiap hari,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Paya Tambang, di sini semalam.
Shaharil berkata, oleh kerana cili bara memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk mengutip hasil, dia membayar RM3 bagi setiap kilogram hasil cili yang dikutip penduduk kampung.
“Saya bayar RM3 untuk setiap kilogram kepada jiran-jiran dan penduduk kampung yang tolong kutip cili ini.
“Sejak terlibat dalam bidang ini, ramai penduduk kampung yang mula menunjukkan minat dalam bidang pertanian, sekarang Pejabat Pertanian Temerloh dan pelbagai agensi kerajaan mula memantau perkembangan projek saya,” katanya.
Menurutnya, dia menjangkakan hasil tanaman cili pada musim pertama ini mencecah 4.5 metrik tan iaitu bagi tempoh kutipan selama enam bulan.
Bagaimanapun, kekurangan tanah menjadi masalah utamanya dan berharap ada pihak membantu menambah bilangan kebun dengan menawarkan tapak tanah baharu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: