Saturday, November 28, 2015

Wanita ditahan pandu kereta klon



Wanita ditahan pandu kereta klon
Nazli (tengah) menunjukkan antara kenderaan klon yang disita JPJ Negeri Sembilan.
SEREMBAN – Seorang penjawat awam antara individu yang ditahan untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan (JPJNS) di sini, selepas didapati memandu kereta klon.
Pengarah JPJNS, Nazli Md Taib berkata, wanita berusia 40-an itu ditahan Jumaat lalu apabila dikesan memandu Toyota Vios yang meragukan.
"Walaupun dia sekadar pemandu tetapi boleh ditahan mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan bermotor yang tidak berdaftar.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM10,000," katanya.
Nazli berkata, kenderaan terbabit dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran dan dijual dengan harga jauh lebih murah di pasaran.
Menurutnya, sehingga November tahun ini, pihaknya telah menyita sebanyak 13 buah kenderaan klon yang dikesan dalam operasi dan risikan dilakukan.
"Mengikut statistik, kenderaan yang disita iaitu Toyota Vios (5), Honda Oddyssey (4) dan yang lain sebuah jenis Toyota Wish, Toyota Estima, Mazda 6 dan Mitsubishi Grandis.
"Tiga daripada kereta ini telahpun diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut.
"Kita percaya mereka yang ditahan kerana memiliki kenderaan klon ini sedar akan kesalahan dilakukan dan kebanyakannya merupakan golongan sederhana," katanya.
Sehubungan itu katanya, pemilik kenderaan klon diharap dapat menyerah diri sebelum dikenakan tindakan yang lebih keras.
Tambah Nazli, orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan penjual kereta klon semata-mata mahu memiliki kereta mewah dengan harga jauh lebih murah.
"Perbezaan harganya sangat ketara, misalnya Toyota Vios boleh dibeli serendah RM5,000. Walaupun ada salinan geran dan maklumat lain oleh penjual, tapi pembeli sepatutnya sudah mula ragui kerana harga ditawarkan memang tak masuk akal.
"Jadi kita harap orang ramai berhati-hati dan tidak terjerat dengan penipuan untuk memiliki kereta mewah, sebaliknya membuat pemeriksaan dan rujukan dengan pihak berkuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: