SELEPAS kejayaan drama bersiri Dead Mine (2012), Serangoon Road (2013) dan Grace (2014), siri original HBO Asia kembali dengan Halfworlds.
Menariknya, siri lapan episod ini menampilkan barisan pelakon terbaik dari rumpun Melayu iaitu Bront Palarae, Puteri Balqis Salvita Decorte, Arifin Putra, Reza Rahadian, Aimee Saras, Adinia Wirasti, Hannah Al-Rashid, Tara Basro, Alex Abbad, Ario Bayu, Verdi Solaiman dan Nathan Hartono
Drama berbahasa Inggeris itu diarahkan oleh sutradara hebat dari Indonesia, Joko Anwar yang turut menulis skrip bersama Colin Chang dan penggambaran dijalankan di Batam dan Jakarta, Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif HBO Asia, Jonathan Spink memberitahu Halfworlds merupakan siri yang mengangkat mitos masyarakat Indonesia.
“Halfworlds adalah siri pertama seumpamanya di Asia yang menawarkan barisan pelakon yang berbakat dalam bidang lakonan, muzik dan seni dari rantau ini.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan pengarah berwawasan seperti Joko. Joko adalah pilihan terbaik untuk siri original HBO Asia yang terbaru ini,” katanya.
Halfworlds mengisahkan makhluk Demit yang boleh merupai wajah manusia dan kewujudan mereka di sembunyikan sebuah keluarga berpengaruh selama berabad-abad lamanya.
Namun, dunia makhluk mitos ini terbongkar selepas berlaku kejadian misteri yang digelar sebagai ‘Gift’.
Kemudian, pelukis jalanan muda bernama Sarah mendapati dirinya terbabit dalam dunia Demit.
Sarah dikatakan adalah kunci untuk menghalang tercetusnya perang besar Armageddon.
Bagi peminat cerita mistik, jangan ketinggalan menyaksikan Halfworlds, mulai 29 November, jam 10 malam menerusi saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431).
Bagi mereka yang bukan pelanggan Astro boleh menonton episod pertama Halfworlds secara percuma di laman Facebook Halfworlds HBO pada Ahad ini sejurus selepas tayangan perdana.
Ini adalah kali pertama HBO berkongsi episod penuh di laman sosial.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: