Abdullah (berdiri) melihat keadaan kunci tabung masjid yang telah diumpil.
JOHOR BAHRU - Empat tabung Masjid Jamek Al-Makmur Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, di sini, dipecah pencuri sekitar jam 3.30 pagi, semalam.
Pengerusi masjid berkenaan, Abdullah Ismail berkata, kejadian itu disedari sebaik imam dan bilal sampai ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.
Menurutnya, melalui CCTV yang dipasang, pencuri dikenal pasti seorang lelaki yang membawa karung guni untuk mengisi hasil curi duit tabung yang disedekahkan orang ramai yang datang beribadat di masjid berkenaan.
“Kami lihat dia bawa karung guni yang digunakan untuk mengisi duit tabung yang telah diumpil kuncinya kerana banyak duit syiling di dalamnya.
“Sayangnya, CCTV kami yang merakamkan aksi pencuri tersebut tidak begitu jelas pada wajahnya, sebaliknya hanya nampak kelibat badannya yang agak berisi berumur dalam lingkungan 20an,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdullah berkata, kejadian seumpama itu sudah lebih empat kali berlaku sejak tahun lalu, sehingga pernah ada seorang pencuri yang berjaya ditangkap, tetapi tidak diserahkan kepada polis.
Menurutnya, pihak masjid sudah habis ikhtiar untuk menangani perkara itu kerana sudah memasang CCTV dan mengunci jeriji besi masjid sebaik jemaah selesai menunaikan solat Isyak.
“Pernah sekali, kami tangkap pencuri selepas membuat intipan dan dia masuk perangkap. Kami ikat dia di tiang masjid tetapi terpaksa bebaskan selepas dia merayu dan berjanji tak akan mencuri lagi.
“CCTV pun sudah dipasang, tapi masih tetap juga berlaku kecurian. Harapan kami agar pihak polis lebih kerap melakukan rondaan di kawasan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: