Tuesday, November 3, 2015

Pengurusan jenazah lebih mudah dengan kit Pasti



Pengurusan jenazah lebih mudah dengan kit Pasti
Fauzi menunjukkan produk Pasti, set lengkap pengurusan jenazah.
ATAS inisiatif memberi kemudahan kepada umat Islam, Airist Cosmetics Sdn Bhd menerusi jenama Pasti memperkenalkan set lengkap pengurusan jenazah dengan pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Fauzi Mustakim berkata, Pasti dihasilkan atas permintaan pengguna Islam bagi keperluan jenazah di kios-kios kecantikan sedia ada miliknya ketika berlaku kematian.

“Barang-barang keperluan ini sukar diperoleh di kedai biasa tetapi ada di kedai India kerana ia banyak digunakan untuk upacara keagamaan.

“Berdasarkan permintaan itu, saya mendapat idea menghasilkan Pasti pada Oktober tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Ketika mula berniaga Pasti, ia hanya dilengkapi 20 barang tetapi kini ada penambahan menjadikan 27 barang selepas melalui pelbagai kajian dan penambahbaikan, sekaligus menjadi set lengkap pengurusan jenazah paling lengkap di pasaran.

Set ini mengandungi semua keperluan jenazah dan beberapa produk telah melalui proses inovasi.

Katanya, set ini disasarkan kepada hospital dan masjid untuk keperluan jenazah serta sekolah untuk kegunaan amali pelajar dengan harga pasaran RM250 seunit.

Sambutan pengguna sangat menggalakkan kerana ia produk paling lengkap, halal, mudah dan mempercepatkan urusan jenazah serta senang untuk disimpan.
Bakal teroka semua koperasi

Setakat ini, set ini boleh didapati di tujuh kios dan kedai kecantikan milik Airist Cosmetics di Tesco dan Giant sekitar Lembah Klang.

Pihaknya juga menjalin kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk meneroka semua koperasi.

Kini, Airist Cosmetics sedang berbincang dengan beberapa koperasi Angkasa di seluruh negara antaranya Coop Masjid,  Coop Sekolah dan Coop IPTA.

“Kami sudah memasuki enam negeri bagi Coop Masjid, dua negeri bagi Coop sekolah dan bakal memasuki beberapa negeri lagi termasuk Pahang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Mohd Fauzi berharap set ini dapat memasuki semua koperasi Angkasa di seluruh negara pada masa akan datang.

Bukan itu sahaja, pihaknya juga mahu set ini berada di semua hospital dan masjid di seluruh negara menjelang 2016.

Set ini juga boleh didapati menerusi pengedar dan ejen Airist Cosmetics.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya mempunyai 20 pengedar sedia ada di bawah Airist Cosmetics dan berhasrat menambah jumlah itu kepada 50 pengedar dan 100 ejen menjelang akhir tahun ini.

“Kami mengalu-alukan mana-mana individu berminat menjadi pengedar dan ejen bagi set ini di seluruh negara," katanya.

Program Jom infaq

Airist Cosmetics turut menjalankan program Jom Infaq khususnya kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat, syarikat persendirian dan individu untuk meletakkan set ini di sekolah, hospital dan masjid di seluruh negara.

“Jom Infaq bertujuan membantu golongan yang memerlukan khususnya tidak berkemampuan.

“Kami menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak," katanya.

Pihaknya akan memperkenalkan produk set lengkap pengurusan jenazah asas bagi golongan berpendapatan rendah dan set lengkap pengurusan jenazah untuk penyakit kritikal dijangka pada suku pertama 2016.

Selain itu, pihaknya juga bekerjasama dengan Mypasti, satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pertubuhan MyPasti Malaysia bagi pakej khairat kematian.

Airist Cosmetics juga dalam proses menyiapkan satu pembungkusan baharu menggunakan jenama Road2Jannah bertujuan menarik pasaran antarabangsa.

“Kita menerima permintaan dari negara luar dan menjangkakan menjelang Januari 2016 set ini dapat memasuki pasaran Asean dan Timur Tengah,” katanya.

Peluang perniagaan kepada wanita

Sementara itu, pengedar set lengkap pengurusan jenazah Kajang dan Hulu Langat, Ammelia Mohd Ali mula tertarik dengan set ini kerana perbezaan yang ada pada produk ini dan percaya ia mempunyai pasaran luas sama ada dalam dan luar negara.

“Saya tertarik kerana ia lengkap, mudah dan halal. Tiga kategori ini penting bagi memberi kesedaran kepada umat Islam tentang perlunya set pengurusan jenazah yang halal,” katanya.

Amelia yang sebelum ini terlibat dalam bidang media dan perniagaan atas talian (online) berkata, selain menjual produk-produk wanita seperti tudung dan baju, wanita juga boleh melibatkan diri di dalam perniagaan seumpama ini.

“Ia dapat menjana pendapatan bagi mereka yang ingin menceburi perniagaan tanpa modal yang tinggi tetapi mempunyai pasaran yang luas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: