Friday, November 27, 2015

Faizal Ismail Tidak Ikut Trend Mahu Jadi "Sado"




Faizal turut melibatkan diri dalam aktiviti sukan basikal.
PETALING JAYA: Pengacara Faizal Ismail belum terfikir untuk mengikut trend membina otot badan atau sekarang digelar 'abang sado' seperti kebanyakan selebriti lelaki lain.

Faizal, 39, berkata, walaupun semakin aktif dalam aktiviti senaman, namun dia tidak berhasrat untuk menjadi sasa kerana sukar memberi komitmen dalam penjagaan makanan.

"Memang sejak saya berhenti menjadi penyampai radio, saya mempunyai masa untuk diri sendiri iaitu melakukan aktiviti senaman di mana saya bersenam empat hingga lima kali dalam seminggu.

"Tetapi saya tidak berhasrat lagi untuk menjadi 'sado', walaupun ada yang menganggap saya mahu berusaha ke arah itu.

"Tak sesuai kot, saya tidak boleh beri komitmen dalam penjagaan makanan kerana saya suka makan," katanya kepada mStar Online.

Faizal diminta mengulas mengenai beberapa foto di akaun Instagram miliknya yang menunjukkan dia semakin aktif dalam senaman.
Faizal bersenam empat hingga lima kali dalam seminggu.
Sehinggakan ada yang menganggap Faizal mahu mengikut trend selebriti lelaki berbadan sasa agar dilihat berpenampilan lebih menarik.

Sementara itu, mengenai karier seninya pula, sejak meninggalkan stesen radio Hot FM pada Mei lalu, Faizal menyifatkan penghijrahannya itu lebih berbaloi kerana dia dapat merasakan kebebasan dalam bekerja terutamanya apabila menerima tawaran pengacaraan di mana-mana stesen televisyen.

Malah Faizal juga sibuk dengan perniagaan pengurusan majlis menerusi syarikatnya, FBI Entertainment.

"Alhamdulillah, saya lihat penghijrahan yang dilakukan adalah sesuatu yang baik. Saya bebas bekerjasama dengan mana-mana stesen televisyen dan pada masa sama dapat menguruskan perniagaan.

"Yang penting, saya juga dapat luangkan banyak masa bersama isteri dan anal-anak. Cuma cabarannya ialah, saya tiada pendapatan tetap dan perlu berusaha untuk mendapat pendapatan yang lebih," ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal berkata, dia juga turut membantu isterinya menjual 'lunchbox' Daging Hitam Manis.

"Alhamdulillah, setakat ini tempahan yang kami terima sangat memberangsangkan. Malah sekiranya ada masa, saya juga akan turun padang menghantar tempahan tersebut sebagai kejutan buat peminat-peminat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: