Tuesday, November 24, 2015

Altimet Kurang Senang Foto Dirakam Individu Ketika Sedang Makan




Altimet buat kajian untuk hasilkan album terakhir.
PETALING JAYA: Penyanyi rap Altimet mengambil langkah memuat naik foto seorang individu di laman Instagram miliknya selepas berasa kurang senang dengan tindakan individu tersebut yang mengambil gambarnya secara sembunyi ketika dia sedang makan.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 37, berkata, perkara itu dianggap sebagai biadab sehingga menimbulkan rasa curiga serta menganggu perbincangan yang sedang dilakukan.

"Bukan tidak boleh ambil gambar saya secara sembunyi-sembunyi tetapi dia melakukannya secara keterlaluan sehingga membuatkan saya naik marah.

"Dia ambil gambar sepanjang saya makan kira-kira 20 minit terutamanya ketika saya sedang menyuap makanan di mulut. Saya cuba senyum kepadanya tetapi tidak dilayan walaupun dia berada betul-betul di meja hadapan saya," ujarnya kepada mStar Online.

Altimet diminta mengulas tentang gambar seorang individu yang dimuat naik dilaman sosial miliknya pada malam Sabtu lalu namun dipadam beberapa jam kemudian.

Foto yang dimuat naik Altimet yang berasa kurang senang tindakan lelaki tersebut.
Bagaimanapun, Altimet turut mengakui tindakannya memuat naik foto individu tersebut juga sesuatu yang kurang manis.

"Saya mengakui kesilapan saya juga kerana muat naik gambar dia di laman sosial. Ketika itu saya tidak mampu kawal emosi marah.

"Kemudian, ibu saya menegur dan meminta saya untuk memadam gambar tersebut bagi menghormati privasi individu tersebut," ujarnya.

Tambah Altimet, dia berharap berpeluang untuk berjumpa kembali lelaki tersebut bagi meminta maaf secara peribadi.

"Kalau boleh memang saya ingin minta maaf tetapi bukan melalui media atau secara terbuka, saya ingin bertemu sendiri dengan dia untuk meminta maaf," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Altimet berkata dia kini dalam proses membuat kajian untuk menerbitkan album terbaharu.

Dia juga sedang mencari idea dan konsep untuk album tersebut yang berkemungkinan adalah album terakhir baginya sebagai anak seni.

"Saya sedang buat kajian tentang trend muzik akan datang untuk album terbaru saya. Ia juga mungkin album terakhir saya sebagai penyanyi rap.

"Saya berasa sudah sampai masanya untuk beralih ke perkara lain pula seperti di elakang tabir sahaja. Album akhir ini akan berkonsepkan penceritaan di mana setiap lagu ada kesinambungannya," ujar Altimet.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: