Thursday, November 26, 2015

Lamaran Ombak Rindu, Siti Saleha teruja beraksi



Siti Saleha

DIBERI kepercayaan untuk terlibat dalam sebuah produksi teater merupakan satu penghargaan bagi aktres kelahiran England ini.
Dek kerana itu apabila dia diberitahu dirisik oleh CTRA Production untuk menjadi salah seorang bintang bagi teater Ombak Rindu, dia sangat teruja kerana karya tersebut bukan calang-calang karya.
Walaupun masih belum membuat keputusan sama ada mahu menerimanya atau tidak, Siti Saleha berkata, jika berkesempatan dia tidak akan melepaskan peluang tersebut.
"Sebenarnya perkara ini telah diberitahu pengurus baru-baru ini. Saya belum dapat memberikan kata putus buat masa sekarang.
"Tetapi apabila mendapat tahu nama saya antara yang dicalonkan dan disebut untuk terlibat dalam teater berkenaan, memang saya gembira," katanya kepada Zass.
Menurut pelakon berusia 25 tahun ini, minatnya terhadap teater sentiasa ada dan dia juga bermula dengan teater ketika melangkah ke industri ini.
"Saya mula-mula muncul pun dengan teater berjudul Stage Therapy sekitar 2009. Bahkan sehingga kini saya masih terasa kehangatan apabila terlibat menerusi pementasan teater Asrama Ra All Stars tahun lalu," katanya.
Berbicara mengenai tawaran tersebut, akui Siti Saleha, dia tidak akan sesekali menerima apa-apa tawaran kerja jika tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya.
"Saya seorang yang sangat mementingkan disiplin dalam kerja. Bagi saya, jika tidak mampu memberi fokus dan perhatian satu-satu kerja itu, lebih baik kita tidak terlibat.
"Lagi pun, ia boleh mendatangkan keburukan kepada karier sendiri dan juga pihak terlibat," katanya.
Menurutnya, meski pun pementasan berkenaan dijadualkan April 2016 di Istana Budaya (IB), namun jadualnya yang padat sehingga Mac, membuatkan dia teragak-agak membuat keputusan.
"Memang pementasannya lambat lagi. Tetapi, Mac nanti saya akan menjalankan penggambaran filem selama sebulan di luar negara. Saya risau tidak dapat memberikan komitmen untuk menjalani sesi latihan dan sebagainya.
"Bimbang pula, ia mencacatkan karakter saya nanti. Apa pun, kalau boleh memang saya mahu menjayakan pementasan ini," katanya.
Akuinya, dia tidak kisah jenis watak yang akan diberikan kepadanya.
Saya percaya naskhah ini sangat hebat dan besar. Watak apa yang ditawarkan saya akan terima jika berpeluang menyertainya.
"Bahkan, saya percaya, teater ini akan mencipta fenomena tersendiri," kata pelakon ini.
Ombak Rindu merupakan karya asal sentuhan novelis Fauziah Ashari terbitan Alaf 21, Kumpulan Media Karangkraf.
Kerjasama produksi luar
Dalam pada itu, penglibatannya menerusi Cinta Paling Agung terbitan Nusantara Seni Karya SDN BHD juga membuka ruang kepada Siti Saleha untuk bekerjasama dengan produksi luar negara.
"Walau pun filem berkenaan tidak disiarkan di Indonesia tetapi nama saya menarik perhatian mereka selepas terlibat dengan filem itu.
"Seperti yang saya katakan, penggambaran selama sebulan di luar negara nanti adalah menerusi produksi yang sama dan ia benar-benar rezeki yang tidak diduga oleh saya.
"Boleh dikatakan tawaran sebagai salah seorang teraju filem berkenaan seperti jatuh dari langit," katanya.
Mengakui rezekinya tidak pernah putus, Siti Saleha berkata, dia sangat bersyukur kerana industri masih memberikan kepercayaan kepadanya.
"Saya percaya disiplin dan minat terhadap kerja itu memainkan peranan dalam perkembangan karier kita.
"Kerana itu, saya sentiasa memberikan yang terbaik sepanjang terlibat dalam industri ini.
"Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada rezeki kita, adakala kita beri yang terbaik, tetapi jika tidak ada rezeki, segalanya tidak menjadi," katanya.
Kata Siti Saleha, hampir lapan tahun bergelar anak seni mengajarnya tidak memberi persepsi negatif terhadap orang.
"Dengan menjaga nama baik kita, orang akan menghormati dan selesa bersama kita.
"Saya tidak mahu memandang buruk kepada orang lain kerana bimbang menjejaskan periuk nasi sendiri.
"Lagipun industri kini dibanjiri pendatang baharu, jika tidak menjaga reputasi, pasti menjejaskan perjalanan kerjaya kita nanti," katanya.
Selain itu, Siti Saleha baru sahaja tamat penggambaran drama bersiri Uda dan Dara adaptasi novel Aisya Sofea.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: