Friday, November 27, 2015

Faktor usia bukan penghalang



Faktor usia bukan penghalang
Anggota SRS diraikan dengan percutian rehat sambil memancing di Tasik Kenyir sebagai tanda penghargaan.
MARAN - Usia sudah menjangkau separuh abad, namun komitmen terhadap tugas sukarelawan menjaga keselamatan kampung tidak pernah kurang meskipun terpaksa berjaga malam hingga ke lewat pagi.
Demikian jasa dan pengorbanan 17 anggota warga emas Skim Rondaan Sukarela (SRS) Dahlia Jengka 3 yang bersengkang mata ketika insan lain lena diulit mimpi bagi memastikan pintu masuk utama ke tanah rancangan itu tidak ‘ditembusi’.
Ditubuhkan pada Mac 2012 dan di anggotai 22 sukarelawan kebanyakan adalah peneroka kumpulan terawal menduduki Felda Jengka 3.
Ia sekali gus membuktikan rasa cinta terhadap keharmonian dinikmati di tanah rancangan dan sanggup mengambil inisiatif sedemikian sebagai usaha mengekang risiko jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga Felda.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dahlia Jengka 3, Yasin Maarof berkata, usia bukan penghalang kepada peneroka warga emas meneruskan khidmat bakti yang sudah sebati dalam jiwa mereka seawal mula memasuki tanah rancangan.
Menurutnya, banyak tradisi kemasyarakatan yang dilakukan secara gotong-royong dan kini diperkasakan dengan penubuhan SRS di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negara.
“Budaya ini yang orang lama mahu terapkan dalam diri anak muda dan SRS Jengka 3 turut diperkuatkan dengan penyertaan generasi muda selaku pelapis mempertahankan kemakmuran warga Felda.
“Kita sedaya upaya untuk mengurangkan risiko jenayah melalui pelbagai usaha namun bukan bermakna seratus peratus jenayah tidak akan berlaku.
“Sekurang-kurangnya, SRS mengawal keluar masuk di pintu utama dari dicerobohi atau dalam keadaan mencurigakan dan jika ada tangkapan, kami serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Seorang anggota SRS, Kassin Mahmood, 72, berkata, mereka bertugas secara berkumpulan ikut giliran pada setiap minggu dari jam 10 malam hingga 5 pagi.
Menurutnya, anggota juga akan melakukan rondaan bermotosikal mengelilingi kawasan kediaman penduduk bagi memastikan tiada sebarang aktiviti  mencurigakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: