Saturday, November 28, 2015

Beto buang sifat pemalu



Beto Kusyairy
Beto Kusyairy
AKTOR Beto Kusyairi mengakui berlakon membantunya membuang sifat pemalu yang ada  di dalam dirinya.
Pelakon berusia 35 tahun itu memulakan kerjaya lakonannya selepas diberi peluang untuk menggantikan seorang pelakon tambahan yang tidak dapat hadir menjalani penggambaran.
Sebelum itu, teraju utama Bravo 5 ini sudah pun bergiat aktif sebagai kru di belakang tabir sejak 1998.
“Sebelum ini, saya seorang yang sangat pemalu. Namun, apabila berlakon, saya ‘dipakaikan’ dengan pelbagai watak.
“Oleh itu, secara tidak langsung, ia menjadi terapi kepada diri saya dalam menghakis sifat pemalu itu,” katanya.
Baru saja meraih kejayaan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2015 (ASK2015), Beto bagaimanapun tidak mahu menjadikan ia sebab untuk naikkan harga bayarannya selepas ini.
“Setiap bayaran diterima perlulah berdasarkan kepada kualiti kerjanya. Barulah, profesion yang dipilih ini menjadi satu kerjaya diiktiraf,” katanya.
Malah, pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman ini juga mengakui perjalanan karier seninya agak getir sebelum menikmati kejayaan pada hari ini.
“Alhamdulillah, kini saya sudah berada pada tahap yang selesa selain boleh memilih karya yang saya mahu.
“Perjalanan karier saya bukanlah mudah. Saya pernah ditipu malah ada penggambaran terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Namun, itu tidak mematahkan semangat saya sebaliknya menjadikan saya lebih bersyukur dengan apa yang saya capai setakat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: