Wednesday, November 25, 2015

Wanita Islam pertama ke angkasa



Anousheh Raissyan
Anousheh Raissyan
WANITA berasal dari Iran ini menjadi angkasawan wanita Islam pertama ke angkasa. Detik bersejarah itu dilakukan beberapa hari sebelum beliau meraikan ulang tahunnya yang ke-40.
Anousheh melakukan penjelajahan ke angkasa lepas dengan menaiki kapsul Soyuz TMA-9 dari Baikonur, Kazakhstan pada tanggal 18 September 2006.
Kehidupan awal
Anousheh lahir di Mashhad, Iran, dengan nama Anousheh Raissyan pada 12 September 1966.
Pada tahun 1984, Anousheh dan keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) untuk membina kehidupan baharu.
Di AS, Anousheh melanjutkan pelajaran di Universiti George Mason dalam jurusan sains komputer dan kejuruteraan elektrik.
Selanjutnya, beliau meraih ijazah di Universiti George Washington.
Selepas tamat pengajian, Anousheh bekerja di MCI iaitu sebuah syarikat telekomunikasi di AS di mana beliau bertemu dengan suaminya, Hamid Ansari.
Mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 1991.
Pasang impian ke angkasa
Sejak kecil, Anousheh memasang impian untuk menjelajah ke ruang angkasa selepas melihat bintang-bintang ketika sedang baring bersendirian di balkoni rumahnya di Teheran.
Impiannya itu menjadi kenyataan apabila syarikat yang diusahakannya bersama suami dan adik iparnya, Prodea System menjalin kerjasama dengan Space Adventures dan Agensi Angkasa Lepas Persekutuan Rusia (FSA).
Dalam program Space Adventures, seorang peserta akan dipilih bagi mengikuti penerbangan roket Soyuz ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Pada awalnya, Anousheh dipilih sebagai calon kedua atau pengganti kepada Daisuke Enomoto.
Nasib menyebelahinya apabila Enomoto disingkirkan atas alasan kesihatan dan beliau menjadi calon utama bagi menyertai misi Soyuz TMA-9 bersama dua lagi angkasawan dari Rusia dan AS.  
10 hari di angkasa
Selepas lulus ujian perubatan dan kelayakan, Anousheh akhirnya dipilih bagi mengikuti program angkasa ke ISS.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan beliau menjadi wanita Islam pertama ke angkasa lepas.
"Ini merupakan 10 hari yang hebat bagi saya," kata beliau pada majlis perpisahan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (IPS), tiga jam setengah sebelum pulang ke bumi.
Anousheh pulang ke bumi menggunakan kapsul kecil Soyuz TMA-8 dan ia telah mendarat dengan sempurna di utara Kazakhstan.
Ia kembali dari IPS membawa bersama angkasawan Rusia, Pavel Vinogradov dan angkasawan AS, Jeff Williams.
Kontroversi
Hasrat Anousheh untuk mengibarkan bendera Iran telah dilarang.
Beliau bercadang menggunakan dua bendera iaitu Iran dan AS dalam penerbangannya sebagai tanda penghargaannya kepada dua negara yang menyumbang kepada hidupnya.
Beliau tidak mempunyai sebarang mesej politik, lebih-lebih lagi penerbangannya itu adalah atas biaya sendiri.
adalah hanya untuk menunjukkan kemampuan seseorang mencapai tahap kecemerlangan dalam sains dan perniagaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: