Fiza Frizzy
BERMULA dengan menyertai program realiti, siapa sangka platform itu telah membuka laluan anak jati Kuala Lumpur ini bergelar penyampai radio.
Tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang penyiaran, Nur Hafizah Md Saad atau Fiza Frizzy yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains Sumber Tumbuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akui kini mulai jatuh cinta dengan kariernya itu.
"Sebenarnya saya sendiri tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam bidang ini.
“Semuanya bermula apabila teman-teman rapat mencadangkan saya untuk menjinakkan diri dalam bidang penyiaran memandangkan saya seorang yang 'banyak mulut'.
“Sebelum ini minat memang sudah ada cuma saya tidak didedahkan dengan laluan atau platform untuk ke bidang ini.
“Bila ada peluang, saya cuba sertai Projek Metro. Walaupun hanya berjaya ke peringkat akhir, tapi ia beri banyak peluang kepada saya untuk menceburi dalam bidang ini,” kongsinya.
Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitan awal bergelar penyampai, Fiza akui peluang tidak datang mudah, namun berkat kerja keras dan bakat yang dimilikinya, perjalanannya menjadi lebih lancar.
“Selepas tamat dengan Projek Metro saya ditawarkan untuk menyertai bidang korporat dan dalam masa yang sama saya turut aktif sebagai hos dalam majlis-majlis tertentu.
“Peluang demi peluang datang sehinggalah tawaran bergelar penyampai di stesen radio baharu, iM4Ufm diberikan kepada saya.
“Memang tidak sangka saya terpilih, dan saya tidak ambil masa yang lama untuk jatuh cinta dengan bidang ini,” katanya teruja.
Berkongsi serba sedikit tugasannya, Fiza memberitahu dia kini mengendalikan segmen pagi, Bangkit bersama teman seperjuangan.
“Segmen ini bermula seawal 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan pengisiannya lebih kepada informasi dan topik-topik yang terkini.
“Memandangkan iM4Ufm ini lebih fokus kepada golongan belia, jadi kami perlu lebih ‘up to date’ untuk menarik perhatian," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: