Monday, November 30, 2015

Halim Othman Kurang Stres Kendalikan Segmen Sukan di Suria FM




Halim Othman selesa kendalikan program sukan.
GOMBAK: Penyampai radio Suria FM, Halim Othman memberitahu tanggungjawab mengendalikan segmen Grandstand Suria yang hanya bersiaran hujung minggu lebih memberi ruang buat dirinya berehat dan melakukan aktiviti yang digemari.
Halim berkata, dia kini tidak terlalu tertekan bagi mengendalikan segmen utama stesen radio tersebut iaitu Ceria Pagi yang bersiaran pada setiap awal pagi.
“Alhamdulillah, kehidupan lebih baik dan tidak tertekan selepas kira-kira setahun tidak mengendalikan segmen Ceria Pagi, saya lebih banyak masa untuk diri sendiri.
“Grandstand Suria bersiaran hanya Sabtu dan Ahad sahaja, jadi Isnin hingga Jumaat saya ada banyak masa untuk memancing. Selain itu saya jadi pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta,” ujarnya kepada mStar Online.
Halim ditemui pada majlis Cabaran Rock Climbing Grandstand Suria Fm, di Gua Damai Extreme Park, di sini, Ahad.
Halim Othman dan Naim Tahak terajui Grandstand Suria FM.
Grandstand Suria dikendalikan oleh Halim Othman dan Naim Tahak pada setiap Sabtu dan Ahad pukul 9 pagi hingga 1 petang.
Dalam pada itu, Halim berkata, cabaran tersebut merupakan salah satu program bulanan yang dianjurkan untuk pendengar segmen hujung minggu tersebut.
“Kita anjurkan cabaran setiap bulan dan ini adalah yang kedua terakhir bagi tahun ini.
“Sebelum ini, kita ada lumba kereta di Litar Antarabangsa Sepang, Skytrax, Skywarior, Harley Davidson, menunggang kuda, simulasi bomba dan cabaran memasak.
“Semua cabaran ini merupakan kali pertama saya lakukan, kalau tidak kerana program ini saya tidak akan datang ke sini semata-mata untuk memanjat gua ini,” ujarnya.
Sementara itu, bagi penyampai, Naim Taha, kesemua cabaran yang dianjurkan berjaya menarik minat pendengar segmen tersebut.
Katanya, sebagai radio pertama yang memperkenalkan segmen sukan, dia berpuas hati dengan peningkatan rating dalam kajian yang dilakukan baru-baru ini.
“Kami merupakan satu-satu radio swasta yang ada segmen sukan setiap hujung minggu. Alhamdulillah rating meningkat sejak diperkenalkan tahun 2013 lalu,” ujarnya.
Tambah Naim, sokongan terhadap pendengar membuatkan mereka merancang untuk menganjurkan program yang lebih besar pada tahun hadapan.
Acara cabaran memanjat Rock Climbing itu disertai oleh lapan orang pendengar bertuah menerusi peraduan di WeChat. Pemenang membawa pulang hadiah eksklusif daripada Suria FM.
Turut hadir pada acara tersebut ialah pelawak Amir Raja Lawak dan penyanyi Yuka Kharisma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: