Tuesday, November 24, 2015

Misteri penunggu hutan!



Misteri penunggu hutan!

FILEM seram dari Hollywood, The Hallow, pastinya tidak mengecewakan peminat genre ini. Menjalani penggambaran sepenuhnya di kawasan perhutanan Ireland, fi lem arahan Corin Harday ini sarat dengan unsur kejutan yang mampu membuatkan anda tidak senang duduk.
Seperti judul asalnya, The Woods, filem ini mengisahkan misteri hutan yang berkait rapat dengan mitos serta kepercayaan masyarakat Ireland terhadap kewujudan penunggu hutan yang mencuri bayi atau kanak-kanak untuk dijadikan keluarga mereka.
Kisah bermula dengan sepasang suami isteri, Adam (Joseph Mawle) dan Clare (Novakovic), yang berpindah ke kawasan terpencil bersama bayi mereka yang baru lahir, Finn. Kehadiran mereka nyata tidak disenangi penduduk, terutama Colm (Michael McElhatton) yang pernah kehilangan anak perempuannya.
Dia telah memberi amaran kepada Adam agar segera berpindah demi keselamatan bayi mereka.
Bagaimanapun, Adam berdegil dan meneruskan tugasnya sebagai penyelidik di hutan. Turut membawa anak kecilnya bersama, penemuan pertamanya terhadap bangkai seekor rusa dengan 'kulat hitam' mula mencetuskan misteri terhadap mereka sekeluarga.
Lebih mengejutkan rumah yang didiami mereka diserang kulat hitam yang aneh itu. Sejak itu juga, hidup mereka mula tidak tenang kerana ada sahaja peristiwa mistik berlaku.
Tanpa menggunakan khidmat pelakon yang ramai, pengarah berjaya memberikan tumpuan terhadap perkembangan karakter yang sedia ada. Watak Adam dan Clare, digambarkan sebagai pasangan suami isteri yang saling menyayangi dan percaya antara satu sama lain, sehinggalah perkara yang tidak diingini berlaku ke atas mereka.
Namun, kehadiran bayi comel dalam filem ini (Finn) paling memberikan impak dan meninggalkan kesan di hati penonton. Ini kerana manusia mudah tersentuh dengan elemen seperti itu.
Sarat babak suspens Menepati filem seram thriller, banyak babak-babak suspens mampu memberi kejutan kepada penonton Babak Adam terperangkap dalam bonet kereta, sementara Finn dalam kereta keseorangan benar-benar mendebarkan. Di saat itulah, penunggu hutan atau 'Hallow' mula mengganas dan cuba merampas Finn.
Lebih mendebarkan apabila penonton terpaksa menyaksikan saat-saat si ibu, Clare yang bermati-matian cuba menyelamatkan anak kecilnya itu dari dilarikan makhluk mistik itu.
Lebih realistik, apabila semua kejadian itu hanya berlaku pada malam hari dan kemuncak penceritaan hanya disampaikan dalam satu malam.
Menyentuh mengenai kehadiran makhluk misteri dalam filem ini, 'Hallow' digambarkan seperti raksasa dengan rupa yang sangat hodoh namun ia tidak mampu memberikan 'ketakutan' sebenar kepada penonton.
Malah, terdapat juga elemen 'zombie' yang mana ia cukup sinonim dengan filem seram di Hollywood. Bagaimanapun, di atas kekuatan jalan cerita dan kebijaksanaan pengarah dalam menimbulkan elemen suspens dan kejutan, naskhah ini boleh dianggap berjaya dalam kelasnya yang tersendiri.
Malah sejak awal lagi, pengarah banyak menimbulkan persoalan sehingga sukar menjangka apakah yang akan berlaku seterusnya. Dan strategi ini berjaya mencuri tumpuan penonton untuk terus setia menyaksikan filem ini hingga ke penghujungnya.
Mengulas mengenai lakonan, selaku teraju utama, Joseph Mawle dan Novakovic berjaya menghayati watak masing-masing dengan berkesan. Mereka bukan sahaja punya 'chemistry' sebagai pasangan suami isteri, bahkan bijak bermain dengan emosi sehingga meraih simpati penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: