Zee Avi
SUTRADARA hebat, Chiu Keng yang popular dengan karya The Journey kini kembali dengan arahan terbaharunya, OlaBola.
Judulnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan penonton sedia maklum tentang intipati penceritaannya adalah sukan bola sepak.
Bagi menambahkan sintimen emosi dalam filem ini, sebuah lagu telah dihasilkan untuk dijadikan pelengkap.
Istimewanya, penyanyi dan penulis lagu yang kini sedang menempah nama di negara Amerika Syarikat, Zee Avi telah diangkat sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola yang bertajuk ‘Arena Cahaya’.
Arena Cahaya telah dihasilkan oleh Zee bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi yang juga kini berada di Amerika Syarikat.
Zee bukan sahaja menyanyikan lagu ini tetapi dia turut terbabit dalam susunan muzik.
Menurut Zee, beliau berasa teruja dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan pengarah berbakat besar, Chiu.
“Sememangnya saya amat meminati hasil-hasil karya Chiu.
“Apabila Chiu menghubungi saya melalui laman sosial Facebook dan meminta saya untuk menghasilkan lagu tema utama filemnya, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang,” katanya.
Tambah Zee lagi, lagu tersebut dicipta dalam dua versi untuk impak yang lebih berkesan.
“Lagu ini telah ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa.
“Saya berharap agar lagu ini mampu memupuk semangat dan mengembalikan sorak juang rakyat Malaysia,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: