Ali menunjukkan gambar ketika menyertai latihan anggota komando.
NAMA Ali Saidin, 64, lebih dikenali sebagai Imam Masjid Kuala Serdang, namun tidak ramai mengetahui, lelaki sudah melepasi usia separuh dekad ini adalah seorang bekas komando dan pernah menyertai Operasi Kelong VI di Karak pada 1978.
Ali yang bersara pada 1990 berkata, pengalaman itu paling segar dalam ingatannya meskipun sudah 37 tahun berlalu.
Katanya, dia menyertai satu operasi bersama rakan dan pegawai atasan untuk mengawal keadaan di hutan Bentong, Pahang pada 1978.
“Kami dihantar untuk mengawal selia sebuah tempat tetapi kami tidak tahu tujuan operasi. Hasil maklumat perisikan, kumpulan pengganas akan bergerak ke selatan dan dijangka ke kawasan Labis, Johor.
“Jadi, tugas kami mengintip kegiatan komunis di hutan Betong. Mengikut perancangan, Pegawai Perisikan Tentera (MIO) akan bertemu dan berunding dengan pihak komunis, jika gagal, komando akan ambil alih dengan mencari dan membunuh pengganas.
"Ternyata perbincangan itu gagal dan berlaku tembak-menembak antara MIO dan komunis,” kata bapa enam anak hasil perkahwinan bersama Maimon Umar ini.
Jelasnya, setelah pengganas melarikan diri, anggota komando bersedia di kem Gentong dan digerakkan ke kawasan hutan sekitar Lebuhraya Karak yang belum dibuka kepada awam waktu itu.
“Pertempuran pertama berlaku pada hari kedua operasi apabila salah satu kumpulan Ronda Kumpulan Kecil (RKK) yang membuat rondaan melibatkan lima komando terserempak dengan empat pengganas komunis.
"Pasukan itu melakukan serangan, seorang komunis mati ditembak, tiga lagi melarikan diri setelah diasak komando,” katanya ditemui di Kampung Kuala Serdang.
Katanya, tanpa kenal erti putus asa, dua hari selepas peristiwa terserempak pengganas komunis, RKK berjaya mengesan tiga baki pengganas sedang menyeberangi sungai di kawasan tersebut.
“RKK tanpa buang masa mengatur serangan hendap. Sebaik berada di jarak sesuai, tembakan dilakukan serentak, dua daripada tiga pengganas terkena tembakan.
“Keesokannya, kami berjaya menembak seorang lagi, semuanya dalam masa tiga hari saja,” katanya menceritakan pengalaman ketika berkhidmat sebagai anggota komando setelah mengikuti kursus Rejimen Para Komando Angkatan Darat (RPKAD) pada usia 19 tahun.
Menurutnya, kejayaan pasukan komando menyekat kemaraan komunis mengharumkan nama Operasi Kelong dan Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur dapat dibuka kepada orang awam selepas tamat operasi.
Tambah Ali, pengalaman berharga dilalui semasa bergelar komando tidak akan dilupakan kerana tanpa kekuatan dan ketahanan mental, fizikal semaksimumnya, sukar untuk menyertai pasukan berkenaan.
“Memang ada macam-macam cabaran. Nak masuk komando, bukan setakat tegap fizikal sahaja tetapi mental pun kena kuat.
“Kita bukan sahaja menyarung pakaian seragam askar, sebaliknya menjadi komando perlu tahu serba serbi termasuk menyertai pasukan payung terjun,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: