Tiga beradik lelaki yang melangsungkan perkahwinan serentak diraikan di Dewan DarulNaim Kem Kijang, semalam.
KOTA BHARU - Teruja melihat tiga anak lelaki berkahwin serentak, ibu mereka, Noraini Yusof, 58, berdoa agar dapat menimang cucu pula tahun depan.
Noraini yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan e-Kasih Kelantan berkata, perkahwinan serentak tiga anak lelakinya itu amat membahagiakan dan menggembirakannya.
“Alangkah indah dapat lihat anak-anak yang dahulu kecil kini dewasa dan bersanding pula serentak. Sukar saya gambarkan perasaan ini, sebagai seorang ibu, rasa cukup bahagia.
“Tiga menantu ini pula saya terima dalam masa agak cepat dan tanpa diduga, jadi saya harap perkahwinan direstui ini berpanjangan jodohnya,” katanya pada majlis perkahwinan yang berlangsung di Dewan DarulNaim Kem Kijang, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, semalam.
Tiga anaknya, Wan Mohd Faeruz Wan Mohd Ariff, 28, bertemu jodoh dengan Hafizah Minal (Tanah Merah), manakala Wan Mohd Fahmee, 26, berkahwin dengan Nor Asmira Mansor (Terengganu) dan Wan Mohd Fadha, 21, dijodohkan dengan Erma Ermira Nor Azman (Kuala Krai).
Noraini yang mempunyai enam anak, sebelum ini menerima menantu lelaki tetapi belum menerima rezeki cucu dan kali ini menerima tiga menantu perempuan sekali gus.
“Sebenarnya, Wan Mohd Fiqree yang sepatutnya berkahwin dahulu, tetapi ketiga-tiga abangnya pun menyatakan hasrat yang sama, jadi saya dan suami, Wan Mohd Ariffin meminang untuk keempat-empat anak.
“Bagaimanapun, perkahwinan Wan Mohd Fiqree terpaksa dianjakkan pada Mei tahun depan atas sebab memberi laluan kepada abang-abangnya,” katanya tersenyum.
Noraini yang menggalakkan ibu bapa mempunyai ramai anak mengadakan perkahwinan serentak berkata, dia melangsungkan majlis di dewan berikutan musim tengkujuh dan urusan lebih mudah.
“Penat memang penat tetapi ia hanya sekali, lagipun kahwin serentak ini banyak memberi faedah termasuk jimat kos, jadi bagi mereka yang ada ramai anak, jangan tangguh hasrat perkahwinan mereka,” katanya.
Menurutnya, dia memperuntukkan kira-kira RM50,000 untuk perbelanjaan perkahwinan tiga anak lelakinya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: