Monday, November 2, 2015

Kasut lama jadi punca rezeki



Kasut lama jadi punca rezeki
Rutin harian membaiki kasut tidak pernah menjemukan Pak Yuh.
KOTA BHARU – Rutin harian membaiki kasut lama tidak pernah menjemukan Derus Ghani, 51, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Yuh kerana itu merupakan punca rezekinya sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, selepas tamat tingkatan lima dia banyak menceburi cabang kerja yang rata-rata bekerja sendiri bagi mengutip pengalaman dan ilmu.

“Selepas tamat belajar saya banyak buat kerja sendiri dan tidak suka terikat makan gaji seperti berniaga, membaiki kasut dan sebagainya.

“Mula berjinak sebagai tukang kasut saya hanya bawa van dan buka di tepi jalan tetapi atas bantuan orang kampung mereka bina bangsal kecil di laluan dekat Padang Tembak untuk saya kembangkan lagi kemahiran ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Pak Yuh yang berasal dari Pasir Puteh berkata, usaha selama 10 tahun berbaloi apabila dia kini sudah mempunyai ramai pelanggan tetap.

Bukan sekadar terhad kepakarannya kepada baiki kasut malah Pak Yuh juga mempunyai bakat terpendam dalam pembuatan seni kraf tangan seperti mengukir perahu, kapal terbang menggunakan upih pinang untuk dijadikan hiasan.

Tambahnya, seni kraf tangan ciptaan dia sebelum ini pernah menarik minat pelancong luar berbeza dengan dengan sambutan orang tempatan yang tidak terlalu menyokong mungkin kerana cara penerimaan yang berbeza.

“Dalam pada baiki kasut, saya juga buat kraf tangan secara kecil-kecilan jika ada permintaan baharu saya akan buat, ini adalah sumber rezeki sejak sekian lama sehingga berjaya membesarkan lima anak dengan sempurna.

“Sekarang sukar nak tengok tukang kasut dari golongan muda kebanyakan sudah berusia, duduk di bangsal bawah pokok tidak mengapa bagi saya asalnya kita ikhlas melakukan pekerjaan ini,” katanya.

Pak Yuh berkata, sebagai tukang kasut dia perlu sentiasa berfikiran positif terutamanya niatnya dalam membantu orang lain.

“Mereka hantar kita kasut lama yang rosak, jadi kita baiki setidak-tidaknya pelanggan boleh pakai untuk jangka masa yang lama.

“Kita kena buang rasa kotor bila pegang kasut lama, kita nak kerja tidak boleh berperasaan begitu barulah rezeki akan datang dengan mudah,” katanya.

Upah yang dikenakan Pak Yuh kepada pelanggannya tidaklah terlalu mahal di mana hanya RM15 untuk kasut dan RM14 untuk sandal wanita.

“Saya selesa bekerja begini lagipun umur dah meningkat, anak-anak juga dah besar. Sekadar mengisi masa terluang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: