Gambar sekumpulan pelajar sedang berkumpul di tepi LPT2 berhampiran longkang dengan beralaskan tikar membaca surah Yasin yang menjadi viral sejak semalam.
KUALA TERENGGANU - Sekumpulan pelajar sekolah menengah agama di daerah ini yang melakukan solat hajat dan bacaan Yasin di tepi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) menjadi viral sejak semalam dianggap satu usaha murni tetapi perlu dilaksanakan di kawasan lebih selamat.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Shafruddin Ali Hussin berkata, usaha sekumpulan pelajar yang mendapat pengawasan guru itu sangat bagus tetapi mereka juga perlu memikirkan aspek keselamatan kerana ia dilakukan di tepi laluan (LPT2) yang boleh mengundang bahaya.
“Saya difahamkan mereka (sekumpulan pelajar) buat program (solat hajat dan baca Yasin) selepas peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Mereka telah pergi bersama dengan adanya kawalan guru dan meminta kebenaran.
“Usaha ini dianggap sebagai salah satu perbuatan murni tetapi kena cari tempat yang betul seperti di dalam kompleks dan sebagainya yang lebih selamat kerana kawasan yang mereka lakukan itu berbahaya dan lebih baik mencari tempat strategik seperti yang pernah dilakukan kerajaan negeri sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau suasana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung di SMK Seri Nilam, di sini.
Dalam masa sama, Shafruddin turut menasihati mana-mana sekolah yang melakukan aktiviti di luar sekolah perlu mendapatkan kebenaran daripada kawasan berkenaan dan ada pengawasan pihak berwajib.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: