Antara koleksi syiling lama yang masih disimpan Minah
KUALA TERENGGANU - Kalau sebelum ini syiling lama yang dikumpul Minah Mat Ali, 58, hampir satu balang, kini hanya tinggal beberapa keping sahaja kerana menjadi tarikan dan minat anak menantunya.
Ibu kepada tujuh anak ini berkata, pada mulanya, dia tiada niat untuk mengumpul syiling lama, namun, setelah menemui beberapa syiling lama hasil urus niaga jualan ayam yang diusahakannya, dia terus mengumpul kepingan syiling itu.
“Dulu-dulu banyak syiling lama begini, bukan sahaja duit Malaysia, ada juga duit dari negara luar seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura dan pelbagai negara lagi, tetapi banyak makcik berikan kepada anak menantu kerana mereka berminat nak simpan.
“Sebelum ini ada juga syiling 50 sen yang berpalang, itu mak cik rasa amat berharga juga kepada penggemar syiling lama, maklumlah duit lama ini makin lama makin berharga dari segi nilai dan sejarahnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Pak Maseh, di sini.
Minah kini tinggal bersama suami, Sulong Endut, 70, anaknya, Sabiha Sulong, 24 dan menantunya, Muhammad Hasnol Wahab, 28 yang bekerja sebagai pemandu lori.
Menurutnya, selain syiling lama, dia juga mempunyai koleksi geliga siput dan buah durian kecil yang ditemui dalam buah durian.
“Kata orang, geliga siput dan buah durian kecil ini boleh dibuat ubat bagi mereka yang mengalami muntah-muntah, sakit dan seumpamanya. Tetapi mak cik tak pernah pula mencuba walaupun ada yang mengatakan ia boleh buat ubat.
“Bagi mak cik, mak cik lebih suka mengumpul sahaja sebagai koleksi untuk menjadi tatapan generasi akan datang,” katanya yang pernah bekerja sebagai peniaga ayam daging suatu ketika dulu.
Beliau berkata, di antara koleksi syiling lama miliknya, terdapat sekeping syiling 50 sen duit Malaysia berwarna emas lain dari yang lain.
“Biasa kalau duit syiling 50 sen dulu warnanya hanya berwarna perak, ini dah jadi warna emas. Mak cik tak ingat kat mana jumpa tetapi ia ada dalam simpanan hingga sekarang. Penah juga mak cik gores sedikit untuk ketahui lapisan di bawahnya apa, nampak macam warna tembaga, tetapi tidak pasti,” katanya.
Sementara itu, Minah berkata, dulu suaminya juga berkongsi minat yang sama dengannya iaitu mengumpul syiling lama, bagaimanapun, kini suaminya hanya mampu terlantar di atas katil akibat serangan strok.
“Dah lama dia terlantar begitu, hampir 14 tahun dia diserang strok. Mula-mula dulu dia langsung tidak boleh bercakap apatah lagi berjalan, kini dia mampu bercakap dan menggerakkan kakinya. Alhamdulillah, nampak ada perubahan positif.
“Sebenarnya, mula-mula dia nak kena serangan strok dulu puncanya dia jatuh motosikal. Kami membawa dia ke hospital dan doktor mengesahkan dia kena serangan angin ahmar. Alhamdulillah, dia tiada penyakit-penyakit lain setakat ini melainkan strok dan gout,” katanya.
Minah berkata, disebabkan dia dan suami kini tidak bekerja, mereka hanya berbelanja wang yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 kepada suaminya dan RM300 kepada dia sebagai penjaga.
“Dengan duit itulah kita belanja beli keperluan dapur, ubat. Alhamdulillah, anak-anak juga ada yang membantu dari segi kewangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: