Mohammad Fakhrudin bersama isteri, Juliana menunjukkan roti dan biskut yang dihasilkan Jaz’s di cawangan mereka di Taman Pelangi Indah.
WALAUPUN sudah mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan lumayan, seorang bekas pengurus di sebuah jabatan kerajaan ini sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menceburkan diri dalam perniagaan, 10 tahun lalu.
Ternyata pilihan sukar pada awalnya yang dibuat itu bertepatan apabila Mohammad Fakhrudin Zuber, 37, kini semakin rancak melebarkan sayap potensi perniagaan apabila berjaya membuka empat bakeri biskut dan roti di sebuah pasaraya besar negara ini.
Menurut Mohammad Fakhrudin, selepas berhenti kerja, pelbagai perniagaan diceburinya termasuk bidang hartanah serta pembekalan perabot di jabatan kerajaan dan sebagainya, namun akhirnya membuat pilihan untuk serius membuka bakeri biskut dan roti
setelah memperoleh peluang berkenaan, dua tahun lalu.
“Pelbagai perniagaan yang ceburi dan dari situ saya mulai mengumpul modal dan peluang yang diberikan sebuah pasar raya pada 2013 itu saya manfaatkannya dan sanggup menanggung risiko sedangkan saya tidak punyai kepakaran dalam bidang makanan ini.
“Tetapi, saya memberanikan diri dan kebetulan isteri, Juliana Bahari, 37, turut berminat membuat biskut dan dari situ kami cuba mengembangkan perniagaan ini kerana melihat potensinya yang memberangsangkan.
“Syukur kepercayaan kami diteruskan apabila cawangan pertama di Seremban 2, Negeri Sembilan menunjukkan prestasi memberangsangkan dan kemudian cawangan kedua dibuka di Subang Jaya Selangor, setahun kemudian diikuti Gong Badak, Terengganu (2014) dan kini di Taman Pelangi Indah, di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menamakan bakeri kek dan rotinya sebagai Jaz’s, bapa kepada lima anak ini memberitahu, pemilihan nama itu adalah gabungan namanya bersama isteri serta anak perempuan mereka.
“Alhamdulillah, kami berjaya mencipta formula baharu iaitu bahan proses yang dihasilkan untuk pembuatan roti tidak menggunakan telur dan bahan pengawet kerana menitikberatkan aspek kesihatan pelanggan.
“Hasilnya juga lebih baik dan jangka hayatnya lebih lama daripada tiga kepada lima hari," katanya.
Beliau bakal membuka dua lagi cawangan baharu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang November ini dan Tampin, Negeri Sembilan, tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: