Keith Foo
SEJAK membintangi drama Ariana Rose, pelakon kacak ini semakin mendapat tempat di negara ini.
Akui Keith Foo, dia sangat teruja dengan penerimaan peminat di sini dan nekad untuk mengembangkan lagi karier lakonannya.
Menurut Keith, sehingga kini dia masih menerima tawaran lakonan dari produksi Indonesia, namun dia terpaksa menolaknya kerana jadualnya sangat padat sehingga akhir tahun hadapan.
“Saya sendiri ada kalanya rasa serba salah kerana terpaksa menolak setiap kali ada pihak dari Indonesia telefon menawarkan saya berlakon filem dan telefilem.
“Tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan jadual saya padat sampai tahun hadapan,” katanya.
Bagaimanapun dia tidak berasa kesal menolak tawaran itu kerana lebih mengutamakan kerjaya di negara ini berbanding Indonesia.
“Saya sudah berlakon selama 10 tahun di sana dan ingin menggunakan pengalaman sebelum ini untuk mengembangkan karier saya di Malaysia.
“Jadi rasa kesal itu tidak ada sangat dan jika ada rezeki pasti saya akan kembali berlakon di sana,” katanya.
Mengembangkan lagi karier seninya, Keith kini mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan dan bakal muncul dalam sebuah program travelog sebuah stesen televisyen berjudul Spain Bersama Keith Foo.
Menurutnya, bagi menjayakan program itu, dia berada di Sepanyol selama sebulan untuk menjalani penggambaran dan mengakui menimba pelbagai pengalaman sepanjang berada di sana.
“Program itu lebih kepada perjalanan saya secara bagpack ke seluruh Sepanyol dan menjelajah ke destinasi yang bukan tumpuan pelancong.
“Ini pengalaman pertama saya sebagai pengacara dan ia cukup menyeronokkan. Selain dapat merasai pelbagai makanan di sana.
“Kesan daripada mencuba pelbagai makanan, balik sahaja daripada Sepanyol, berat badan saya naik sehingga 10 kilogram,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Jelmaan, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: